KUALA LUMPUR: ASEAN yakin isu kemajuan dicapai dalam Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat dengan mencapai momentum yang positif.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN mengalu-alukan perkembangan itu yang diharap akan berterusan dan percaya ia akan dicapai dengan komitmen penuh semua pihak dalam rundingan berkenaan.
Katanya, semua pihak digesa mengurus isu berkaitan Laut China Selatan dengan berhati-hati dan bijaksana.
“Keamanan global dilihat semakin rapuh dengan begitu ketara, yang menuntut kita untuk menggandakan usaha bagi memastikan keamanan dan kestabilan di rantau kita terus terpelihara.
“Oleh itu, kita mesti memastikan ketegangan geopolitik tidak meningkat atau mengancam keselamatan dan perdagangan global di Laut China Selatan.
“Justeru, ASEAN menggesa semua pihak supaya menguruskan situasi di Laut China Selatan dengan kebijaksanaan dan penuh berhati-hati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Persidangan Pasca Menteri ASEAN dengan China sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Luar China, Wang Yi, yang juga mempengerusikan bersama persidangan itu dan Menteri-Menteri Luar ASEAN.
Sebelum ini, Wan Yi sebelum ini mengumumkan pencapaian penting dengan menyatakan bacaan ketiga COC yang sekian lama dinantikan selesai, sekali gus meningkatkan harapan bahawa Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini dapat mempercepatkan rundingan yang berlarutan menjelang tarikh akhir pada 2026.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, ASEAN turut mengalu-alukan kesediaan China untuk menjadi Negara Senjata Nuklear (NWS) pertama yang menandatangani dan meratifikasi Protokol kepada Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) tanpa sebarang syarat.
Tindakan itu jelas Mohamad merupakan satu langkah penting ke hadapan, yang menunjukkan kepemimpinan dan komitmen China terhadap Asia Tenggara yang bebas daripada senjata nuklear, ketika kebimbangan global meningkat terhadap retorik senjata itu.
Mengulas lanjut mengenai isu kerjasama ekonomi, Mohamad berkata, ASEAN dan China akan terus menjadi rakan dagang terbesar dengan jumlah dagangan mencecah AS$770.94 bilion (RM3.28 trilion) pada 2024, peningkatan sebanyak 10.61 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Dalam konteks ini, pemeteraian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 yang dijadualkan pada akhir tahun ini, datang tepat pada masanya, yang akan dapat memperkukuh kerjasama dan daya tahan ekonomi kita, dalam menghadapi masa yang mencabar ini dan seterusnya.
“Sebagai Penyelaras Negara bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, Malaysia komited untuk bekerjasama dengan semua Negara Anggota ASEAN dan China bagi terus memajukan perkongsian ini yang membawa manfaat kepada rakyat kita,” katanya. – UTUSAN