KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan satu mekanisme khas bagi membolehkan rakyat yang tidak memerlukan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 untuk memulangkannya semula secara sukarela.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, dana yang terkumpul boleh digunakan untuk memperbaiki dua aspek utama yang memerlukan perhatian segera khususnya dalam sektor kesihatan dan pendidikan negara.
“Saya cadangkan kerajaan wujudkan satu mekanisme untuk rakyat yang tak mahu atau tak perlukan bantuan SARA RM100 yang diumumkan Perdana Menteri hari ini supaya mereka boleh ‘pulangkan’ bantuan tersebut secara sukarela kepada kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, dana berkenaan boleh dimanfaatkan untuk menamatkan Skim Rakan KKM yang dilihat berat sebelah dan hanya menguntungkan pesakit yang mampu membayar lebih untuk memotong giliran rawatan.
Beliau berkata, dana itu juga boleh digunakan untuk mempercepatkan rawatan elektif bagi lebih 15,000 pesakit yang kini menunggu sehingga 21 bulan di hospital kerajaan.
“Dana itu boleh membiayai biasiswa kepada pelajar cemerlang seperti pelajar SPM semua A, lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau matrikulasi dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) tinggi yang masih dinafikan peluang ke kolej matrikulasi atau universiti awam untuk mengikuti kursus pilihan utama mereka.
“Kita tidak seharusnya membelanjakan wang rakyat untuk langkah populis kepada golongan yang mungkin tidak memerlukan bantuan. Bukankah lebih baik jika dana ini disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan serta untuk menaik taraf sistem kesihatan dan pendidikan negara?” katanya.
Ka Siong turut menyatakan keyakinan bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, anggota kabinet serta ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga bersedia melepaskan bantuan SARA RM100 mereka demi kepentingan rakyat.
“Saya akan jadi orang pertama yang sanggup melepaskan bantuan ini dan menyalurkannya kembali untuk tujuan lebih besar. Ini satu solusi menang-menang supaya rakyat ada pilihan, kerajaan juga mendapat manfaat,” jelasnya. – UTUSAN