BUKIT MERTAJAM : Seorang warga emas berusia 67 tahun meninggal dunia selepas pengsan ketika sedang mendaki bukit di kawasan Hutan Simpan Cerok Tokun, di sini, petang semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.59 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam kemudian segera dikejarkan ke lokasi untuk bantuan.
“Mangsa dilaporkan pengsan ketika sedang menjalankan aktiviti pendakian sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi.
“Mayat mangsa kemudian dibawa turun sehingga ke kaki bukit sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang memberitahu, operasi tersebut tamat sepenuhnya kira-kira pukul 7.38 malam.-UTUSAN