BUKIT GANTANG: Projek rintis lantikan warden sepenuh masa dalam kalangan bekas pegawai tentera dan polis untuk ditempatkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan dilaksanakan pada Ogos ini.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dua MRSM yang terlibat dalam fasa awal pelaksanaan projek itu ialah MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Balik Pulau, Pulau Pinang.
Katanya, proses temuduga dan menyenarai pendek calon warden tersebut telah dijalankan dan kurang daripada 10 individu dipilih untuk menggalas tanggungjawab di dua MRSM berkenaan.
“Mereka yang dipilih ini telah pun diberikan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan bidang tugas dan tanggungjawab serta akan diberikan latihan kerana peranan warden ini disifatkan penting.
“Kita tidak mahu ada salah faham apabila kita melantik warden dalam kalangan bekas tentera dan polis seolah-olah pendekatan yang dibawa nanti adalah berbentuk kekerasan dalam mendisiplinkan pelajar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang di Dewan Bunga Raya, Changkat Jering, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, peranan sepenuh masa warden ini akan mengurangkan beban tugas guru yang perlu memantau perkembangan sahsiah dan disiplin pelajar di luar waktu persekolahan atau akademik.
“Kita mahu warden yang bertugas sepenuh masa dan tidak seperti sekarang, sedikit sebanyak mengganggu tugas hakiki seorang guru. Sebab itu inisiatif ini dimulakan supaya pelajar di asrama mendapat pengawasan dan pemantauan.
“Kita juga mahu beri keyakinan kepada ibu bapa bahawa anak-anak mereka selamat dan tiada kompromi bagi sebarang bentuk buli sama ada secara fizikal mahupun mental,” katanya.
Tambah beliau, projek rintis itu dilaksanakan selama enam bulan terlebih dahulu kerana pihaknya mahu menilai keberkesanan pelaksanaannya sebelum diperluaskan ke semua MRSM.
“Kita tidak boleh laksanakan secara mendadak. Kita mahu lihat baik dan buruk, dengar pandangan semua pihak. Sebab itu kita namakan projek rintis selama enam bulan. Kalau berjaya kita akan laksanakan di semua MRSM,” katanya.
Pada April lalu, Asyraf Wajdi dilaporkan berkata bahawa Mara akan mengambil warden sepenuh masa dalam kalangan bekas tentera dan polis untuk memperkukuh disiplin serta membanteras kes buli dalam kalangan pelajar MRSM.
Projek rintis itu turut membabitkan kerjasama Persatuan Veteran Tentera dan Bekas Polis bagi mengenal pasti kriteria calon. – UTUSAN