KUALA TERENGGANU: Seorang wanita etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini kerana memukul rakan sebangsanya menggunakan telefon bimbit sehingga patah di bahagian hidung.
Yesmin Fokir Ahmed, 22, berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak.
Dalam kejadian 14 Julai lalu, tertuduh dikatakan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas rakan lelakinya yang berusia 31 tahun selepas berlaku pertengkaran antara mereka.
Kejadian dilaporkan berlaku disebuah rumah di Kampung Pak Bang, Kuala Terengganu kira-kira jam 10 malam. Susulan kejadian itu, lelaki berkenaan dipercayai mengalami kecederaan serius pada bahagian hidung.
Mahkamah menetapkan 4 Ogos ini bagi sebutan semula kes dan melantik jurubahasa berikutan tertuduh tidak memahami bahasa Melayu. – UTUSAN