Wanita OKU sara keluarga dengan pendapatan RM15 sehari

Wanita kurang upaya sara keluarga dengan pendapatan RM15 sehari

MUHAMMAD SHAHRUL AIDIL Baharom dan isterinya, Norfazlin Rasman (dua dari kanan) menerima kunjungan Nor Aliza Safar (dua dari kiri) di di Taman Kiaramas, Simpang Renggam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Sebuah keluarga lima beranak di Taman Rekamas di Simpang Renggam, dekat sini ibarat hidup kais pagi makan pagi apabila hanya mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM15 sehari hasil daripada upah meleraikan biji jagung.

Muhammad Shahrul Aidil Baharom, 31, berkata, pendapatan itu diperoleh isterinya, Norfazlin Rasman, 27, yang mengambil upah meleraikan biji jagung.

Isterinya terpaksa bekerja selepas dia terlibat dalam kemalangan hujung tahun lepas, mengakibatkan kaki kanannya terpaksa dipotong hingga paras lutut.

Dia berkata, sebelum ini keluarganya tidak berdepan masalah kewangan kerana dengan gaji diperoleh sebagai pekerja kilang di Simpang Renggam.

“Segala-galanya berubah apabila saya ditimpa kemalangan sehingga menyebabkan kecacatan kekal, seterusnya mengehadkan pergerakan dan tidak lagi diterima untuk bekerja.

“Sebagai ganti, isteri terpaksa mengambil alih tugas mencari rezeki dengan bekerja mengambil upah meleraikan jagung dan menerima upah antara RM300 hingga RM400 sebulan walaupun dia berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menerima kunjungan Penyelaras Malaysian Relief Agency (MRA) Johor Daerah Kluang, Nor Aliza Safar.

Selain itu, tiga anaknya berusia antara dua bulan hingga lima tahun, turut tinggal bersama-sama mereka adalah ibu bapa mentuanya berusia 60 tahun.

“Dengan gaji diperoleh isterinya itulah digunakan untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga setiap bulan kerana permohonan untuk mendapatkan bantuan daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) belum diperoleh.

“Mujur ada jiran-jiran yang simpati menyumbangkan makanan selain ibu dan ayah turut membantu bagi menggalas perut anak-anak,” katanya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0110841100047551 atau menghubungi talian 011-63733291.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN