Wan Ahmad Farid angkat sumpah Ketua Hakim Negara

Wan Ahmad Farid angkat sumpah Ketua Hakim Negara

SULTAN Ibrahim berkenan mengurniakan Suratcara Pelantikan Ketua Hakim Negara kepada Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Istana Negara, semalam. – FACEBOOK SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengurniakan Suratcara Pelantikan Ketua Hakim Negara, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh di Istana Negara, semalam.

Seri Paduka juga mengurniakan Suratcara Pelantikan Presiden Mahkamah Ra­yuan kepada Datuk Abu Bakar Jais diikuti Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Azizah Nawawi.

Turut dikurniakan Suratcara Pelantikan hakim-hakim Mahkamah Rayuan adalah Hakim Dr. Shahnaz Sulaiman, Hakim Datin Paduka Evrol Mariette Felix Michael Peters, Hakim Ong Chee Kwan, Hakim Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid, Hakim Leonard David Shim, Hakim Nadzarin Wok Nordin, Hakim Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid dan Hakim Muniandy Kannyappan.

Seri Paduka juga mengurniakan Suratcara Pelantikan kepada hakim-hakim Mahkamah Tinggi adalah Hakim Maslinda @ Linda Mohd Ainal, Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah, Hakim Dr. Choong Yeow Choy, Hakim Saiful Azian Mokhtar, Hakim Evawani Farisyta Mohamad dan Hakim Indra Nehru Savandiah.

Selain itu, Hakim Su­mathi Murugiah, Hakim Moses Susayan, Hakim Kan Weng Hin, Hakim Dr. Wendy Ooi Su Ghee, Hakim Mohd. Rosli Yusoff, Hakim Dr. Hazlina Hussain, Hakim Roszianayati Ahmad dan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Jawatan Ketua Hakim Negara sebelum ini disandang Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan oleh Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak digalas Tan Sri Abdul Rahman Sebli yang semuanya bersara.

Wan Ahmad Farid sebelum ini Hakim Mahkamah Rayuan dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LL.B Hons) dari Universiti West London dan memperoleh Sijil Amalan Guaman daripada Universiti Malaya memulakan kerjaya guaman di Tetuan Adnan & Wee, Kuala Terengganu dari 1987 hingga 2003.

Anak jati Kuala Terengganu itu aktif dalam bidang pentadbiran dengan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dari 2003 hingga 2008 sebelum dilantik Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009.

Wan Ahmad Farid kemudian kembali ke bidang guaman di Tetuan Wan Farid & Surin di Kuala Lumpur hingga dilantik Pesuruhjaya Kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu dari 2015 hingga 2019.

Beliau kemudian dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN