KUALA LUMPUR: Pelakon, Uqasha Senrose menafikan dakwaan tidak berasas mengatakan gelaran Datin yang diterima adiknya, Nelydia Senrose adalah ‘dibeli’ semata-mata.
Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32, menjelaskan bahawa gelaran tersebut diperoleh secara sah selepas suami Nelydia, Hafez Halimi, dikurniakan gelaran Datuk menerusi penganugerahan rasmi daripada Sultan Pahang.
“Sebenarnya yang dapat gelaran Datuk adalah suami dia (Nelydia). Jadi, secara automatiklah adik saya bergelar Datin.
“Tapi, bila saya baca macam-macam orang cakap Datuk (pingat) ‘beli’ dan sebagainya. Apa yang saya boleh cakap suami dia memang seorang usahawan,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Munajjim: Sekutu Iblis, malam tadi.
Uqasha turut menjelaskan bahawa adik iparnya merupakan individu yang aktif dalam pelbagai sektor termasuk pembangunan dan perumahan, selain memiliki latar belakang keluarga diraja.
“Adik ipar saya juga memang berdarah kerabat diraja Terengganu dan banyak terlibat dalam sektor pembangunan, perumahan dan sebagainya. Suami dia banyak beri sumbangan. Kalau nak beli dah lama dia boleh beli,” ujarnya.
Baru-baru ini, Nelydia berkongsi berita gembira menerusi Instagramnya apabila suaminya, Hafez Halimi, dikurniakan gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan ke-66 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, sekaligus meraih pujian ramai.
Uqasha turut berbangga atas pencapaian yang diraih pasangan adik dan adik iparnya itu.
Dalam perkembangan lain, Uqasha kembali tampil dalam filem Munajjim: Sekutu Iblis arahan Faizul A Rashid yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 31 Julai ini.
Munajjim: Sekutu Iblis berkisahkan sebuah keluarga yang sangat mempercayai bomoh dalam amalan hidup mereka.
Filem tersebut turut dibintangi Farid Kamil, Che Puan Juliana Evans, Mustaqim Bahadon, Sherrie Merlis dan adik Daniel Aqil. – UTUSAN