PETALING JAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) mencatatkan peningkatan 19 peratus pelajar baharu sesi akademik 2025/2026 iaitu seramai 1,291 orang berbanding 1,086 orang tahun lalu di dua buah kampusnya di Serdang, Selangor dan Bintulu, Sarawak (UPMS).
Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Farhan Mohd. Sadullah berkata, daripada jumlah itu, 902 pelajar mendaftar Program Asasi Pertanian (ASPer) di Kolej Tan Sri Aishah Ghani di Serdang dan 389 pelajar mendaftar program diploma dan persediaan diploma sains di Bintulu.
“Pelajar ASPer meningkat sebanyak 17 peratus berbanding 768 pelajar pada tahun lalu dan pelajar di Sarawak meningkat 22 peratus berbanding 318 pada 2024.
“Peningkatan pelajar di Sarawak disumbangkan oleh strategi promosi UPMS melalui program Jom Masuk U, Walk In@UPMS, promosi di sekolah-sekolah bandar dan luar bandar di Sarawak.
“Seramai 311 pelajar mengambil program diploma dan 78 ialah pelajar mengambil persediaan diploma sains di UPMS,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Program diploma yang ditawarkan ialah Kejuruteraan Teknologi Pertanian, Pembangunan Manusia, Pengurusan Perniagaan, Sains Komputer, Kesihatan Haiwan dan Penternakan, Pengurusan Perladangan Makanan, Perhutanan, Pertanian dan Perikanan.
Ahmad Farhan berkata, bagi memperkukuh peranan UPM di Borneo dalam bidang pertanian, keselamatan makanan, perhutanan dan pengajian lain, nama UPM Sarawak telah diumumkan secara rasmi pada 30 Jun lalu daripada nama terdahulu iaitu UPM Kampus Bintulu.
Katanya, kehadiran pelajar dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak mencerminkan peranan penting kampus itu dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi di kawasan luar bandar dan Malaysia Timur.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, program orientasi pelajar baharu iaitu Minggu Perkasa Putra menekankan pembentukan sahsiah, pemantapan jati diri dan penghayatan kehidupan kampus.
“Lonjakan jumlah pendaftaran mencerminkan keyakinan masyarakat terhadap UPM sebagai institusi yang menyediakan laluan akademik berkualiti tinggi, selari dengan aspirasi True North UPM, antaranya untuk memacu kecemerlangan global.
“Kita komited dalam memastikan pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga berkembang secara holistik,” katanya. – UTUSAN










