UniKL-ASTI lahirkan graduan berkemahiran tinggi

UniKL-ASTI lahirkan graduan berkemahiran tinggi

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Penubuhan Universiti Kuala Lumpur Asia Sustainable Transportation Institute (UniKL-ASTI) Lembah Chuping, Padang Besar di Dewan Warisan, Kangar, Perlis, semalam.–UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kewujudan Universiti Kuala Lumpur Asia Sustainable Transportation Institute (UniKL-ASTI) di Lembah Chuping, Padang Besar bakal menjadi pemangkin dalam menyediakan graduan berkemahiran tinggi dan kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, institusi pengajian itu juga berperanan sebagai pusat perundingan dan latihan profesional serantau dengan menawarkan program pendidikan melibatkan pengkhususan dalam bidang logistik, pengangkutan dan pengurusan rantaian pembekalan.

Titah baginda, penubuhan UniKL-ASTI sebagai universiti teknikal terulung juga diharap dapat memacu pembangunan modal insan dan menjadi nadi buat Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) khususnya di negeri ini.

“Beta amat berbangga dengan pelaksanaan projek ini di Perlis yang mana pelaksanaannya adalah menggunakan komponen Industrialised Building System (IBS) dan Building Information Modelling (BIM) sekali gus memastikan penggunaan teknologi baharu dalam industri pembinaan.

“Ini seterusnya dapat meningkatkan kualiti dan produktiviti pembinaan projek di tapak bina itu,” titah baginda pada Majlis Pecah Tanah Projek Penubuhan UniKL-ASTI Lembah Chuping, Padang Besar di Dewan Warisan di sini, semalam.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, penggunaan teknologi solar dalam pelaksanaan projek itu yang diselarikan dengan keadaan cuaca di Lembah Chuping juga akan dapat meningkatkan pengurusan kecekapan tenaga bagi memelihara alam sekitar.

“Beta dimaklumkan, projek ini telah pun bermula pada Februari tahun ini bagi proses reka bentuk dan dijangka siap pada Jun 2028 dengan tempoh pembinaan selama dua tahun,” titah baginda.

Titah baginda, pembinaan institusi pengajian itu juga diharap dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan melalui usaha semua pihak terlibat sama ada agensi teknikal atau bukan teknikal dalam merealisasikan kejayaannya pada masa akan datang.

“Kejayaan pembinaan UniKL-ASTI akan menjadi kejayaan kita bersama terutama untuk rakyat negeri ini dalam menjadikan Perlis sebagai pusat perkembangan ilmu dalam bidang teknologi kejuruteraan.

“Malah, pembangunan UniKL­-ASTI ini juga akan menjadi sebuah pusat rujukan dan kecemerlangan yang dilengkapi kemudahan infrastruktur kondusif serta lain-lain bangunan sokongan berteraskan kepada keperluan terkini industri pengangkutan serta logistik bagi menampung keperluan pengajaran dan pembelajaran,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN