JOHOR BAHRU: UMNO perlu terus mendekati pengundi muda yang berumur bawah 40 tahun dan meyakinkan mereka tentang perjuangan kerana survival dan masa depan parti itu terletak di tangan mereka.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ahli parti perlu lebih ‘vokal’ dalam menyampaikan maklumat secara tepat tentang usaha dan perjuangan yang telah dilakukan parti demi kebaikan rakyat.
Katanya, UMNO perlu menonjolkan bahawa parti itu penting kepada rakyat dalam membela kebajikan dan kepentingan semua, sama ada di bandar mahupun luar bandar.
“Kita berdepan cabaran besar yang perlu ditangani dalam landskap politik yang telah berubah. Pendekatan terhadap anak muda masa kini tidak sama, mereka mahu memiliki rumah, pendidikan yang lebih baik dan peluang pekerjaan.
“Apa yang diinginkan ini sudah kita sediakan, sistem itu sudah ada seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara). Ini yang perlu kita sampaikan, sejak dahulu kita telah sediakan yang terbaik,” katanya merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Iskandar Puteri di Dewan Serbaguna Skudai, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Mohammad Khairi A. Malik dan Timbalannya, Datuk Pandak Ahmad.
Ahli Parlimen Lenggong itu berharap kemenangan pada beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan sebelum ini menjadi suntikan semangat kepada semua ahli parti dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRU) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.
“Jadikan kemenangan di PRK Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning sebelum ini sebagai pembakar semangat untuk kita bangkit lebih kuat dan sebenarnya rakyat nak kita kembali seperti mana di Johor. Jadi, jagalah parti kita, tiada parti yang boleh beri harapan terbaik, yakinlah dengan UMNO dan BN,” katanya.
Mengenai PRN Sabah yang dijangka diadakan dalam masa terdekat, Shamsul Anuar berkata, UMNO sudah mempersiapkan jentera parti, khususnya dalam.mempertahankan kemenangan sebelum ini.
“Pucuk pimpinan parti di peringkat pusat dan negeri telah menyelaras segala persiapan bagi menghadapi PRN Sabah yang kita jangka berlaku dalam tempoh terdekat.
“Berdasarkan bacaan yang dibuat oleh parti, memang kita mempunyai ruang dan peluang. Sebenarnya, melihat kerusi parti kita sebelum ini, kita memang ada kekuatan di situ,” katanya. – UTUSAN