PASIR PUTEH: Seorang penternak ayam kampung organik berdepan detik cemas selepas menjumpai seekor ular sawa batik seberat 30 kilogram (kg) dalam keadaan kekenyangan selepas membaham tujuh ekor ayam di dalam rebannya di Kampung Sungai Petai, di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu disedari Mohd. Khairul Amizi Hussin, 51, selepas mendengar bunyi bising dari reban ayam yang diusahakannya menerusi Program Ternakan Al-Falah.
Katanya, dia mendapati kesemua ayam di dalam reban itu ‘ghaib’ sebelum melihat perut reptilia tersebut buncit selepas membaham haiwan ternakan.
“Saya dapati induk betina dan anak-anak ayam baka kampung organik semuanya sudah lesap. Seekor induk betina berharga RM40 manakala induk jantan pula RM60.
“Saya dan jiran, Hanapi Harun, 60, menangkap ular sawa sepanjang tiga meter itu menggunakan karung guni sebelum menyerahkannya kepada Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Khairul Amizi berkata, dia mempunyai 10 reban ayam kampung dan bersyukur apabila hanya sebuah reban diceroboh ular sawa.
Sementara itu, Pegawai APM Pasir Puteh, Nik Mohd. Nor Nik Mat berkata, pihaknya menerima reptilia tersebut daripada penternak ayam kampung organik kira-kira pukul 9 pagi. – UTUSAN











