Tiga maut nahas konvoi bermotosikal merupakan pelajar KPTM Bangi

Tiga maut nahas konvoi bermotosikal merupakan pelajar KPTM Bangi

JENAZAH salah seorang mangsa dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Rembau untuk urusan pengebumian.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Suasana sugul menyelubungi pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau di sini selepas ahli keluarga serta rakan tiga pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Bangi, Selangor yang meninggal dunia selepas terbabit nahas motosikal di Lebuhraya Utara Selatan di Seremban awal pagi tadi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesemua mereka termasuk wakil kolej berkenaan tiba bagi bagi bersama-sama menunggu proses bedah siasat dan memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Afkar Fitri Affendi, 20;  Aliff Syahmi Abdul Hakim, 18, dan Haris Azib Sulaiman, 21.

Datuk kepada Afkar Fitri, Syed Salleh Syed Abu Bakar, 71, berkata, dia mengetahui kejadian menimpa cucunya itu selepas solat Subuh dan bergegas ke Hospital Rembau dari Larkin, Johor.

“Saya tidak sangka, dapat panggilan dekat pukul 7 pagi. Cucu saya ini duduk di Puchong, namun disebabkan belajar di kolej (Bangi), bapanya ada belikan motosikal untuknya berulang alik ke kolej dari rumah sewa. 

“Saya sedih sangat, dia memang rapat dengan saya dan isteri. Dua ke tiga hari sekali mesti dia akan buat panggilan video. Saya tidak sangka sebab dia memang cucu yang baik. Saya hanya ada empat orang cucu sahaja namun kini hanya tinggal tiga orang sahaja,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, media melaporkan tiga pelajar sebuah kolej di Selangor maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan 15 buah motosikal yang sedang berkonvoi selain sebuah lori dan sebuah kereta di Kilometer 262.5, Lebuhraya Utara Selatan (arah utara) di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu mendapati kumpulan motosikal ditunggang secara berkumpulan di lorong tengah dan kanan dari arah Senawang menghala ke Kuala Lumpur.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiga buah motosikal dalam kumpulan yang berada di hadapan telah bergesel dan berlanggar sesama sendiri lalu terjatuh ke atas jalan raya.

“Kejadian mengakibatkan 12 buah motosikal lain yang sedang bergerak dari arah belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar tiga buah motosikal tersebut. Akibat pelanggaran itu, semua yang terlibat turut terjatuh di atas jalan. 

“Pada masa yang sama, sebuah kereta dan sebuah lori turut dilanggar oleh sebahagian daripada 12 buah motosikal terbabit pada bahagian belakang dan sisi kanan kenderaan. 

“Akibat kemalangan ini, kedua-dua penunggang motosikal jenis Yamaha NVX dan seorang penunggang motosikal jenis tidak pasti berusia lingkungan 18 hingga 20-an telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.

Ujar Mohamad Hatta lagi, 12 penunggang motosikal yang lain telah dibawa oleh pihak ambulans ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, dua orang daripada mereka mengalami kecederaan parah dan dirawat di unit rawatan rapi hospital yang sama.

kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Difahamkan, tiga mangsa yang meninggal dunia itu akan dikebumikan di Alor Gajah, Melaka; Salak Tinggi, Sepang dan Gombak, Selangor. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN