JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengakui isu kekurangan petugas menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan di tiga hospital utama di negeri ini iaitu Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Hospital Pasir Gudang (HPG) baharu
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, pihaknya akan membangkitkan isu tersebut kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Laporan menyeluruh diterima daripada HSA, HSI dan HPG adalah kesemuanya berdepan masalah kekurangan tenaga kerja yang menjejaskan operasi serta menambah beban kepada petugas sedia ada.
“Kami ambil maklum dengan serius beban ditanggung petugas kesihatan, jadi sudah tiba masanya KKM beri perhatian yang sewajarnya,” katanya hari ini.
Tambah Tian Soon, pihaknya akan menyediakan maklumat lengkap berhubung permasalahan tersebut selain mendesak agar penyelesaian dilakukan segera.
“Kita tidak mahu isu kekurangan petugas kesihatan ini mengganggu kelancaran operasi perkhidmatan kesihatan awam, apatah lagi dengan pembukaan rasmi HPG.
“Ia akan beroperasi secara berfasa bermula Ogos ini, sebelum beroperasi sepenuhnya pada tahun depan,” jelasnya lanjut. – UTUSAN