Cukup mustahil untuk seorang artis atau selebriti sepertinya dapat mengelak daripada kekejaman dan jahatnya sisi gelap dunia hiburan yang penuh cabaran.
Melalui perjalanan seni yang tentunya tidak mudah, Cakra Khan, mengakui sebagai anak seni, dia juga sama sahaja sebagaimana artis lain yang cuba mencari nafkah dalam bidang ini.
Kata Cakra, dia juga pernah melalui fasa-fasa tidak indah di mana kerjaya seninya tidak dipandang serius selain cubaan banyak pihak yang cuba menjatuhkan dirinya.
Bagaimanapun, kata Cakra, dia berpegang kepada prinsip untuk tidak membuang masa memproses perasaan terhadap orang yang pernah menyakitinya.
Sebaliknya, kata Cakra, keutamaan baginya ialah memaafkan diri sendiri dan terus melangkah ke hadapan tanpa menoleh ke belakang.
“Saya sudah di fasa yang sekarang melepaskan dan move on. Melalui pengkhianatan, kadangkala daripada orang yang terdekat kita yang menyakiti kita itu ada.
“Tetapi saya sudah di fasa yang saya sudah memaafkan diri saya sendiri. Saya harus move on. Prinsip itu sudah saya pegang lama supaya saya tidak membuang waktu untuk memproses apa sahaja perkara tidak baik yang berlaku,”katanya.
Kongsi Cakra, dia pernah melalui pengalaman sedih yang membuatkan dirinya diuji, namun tidak mahu membiarkan perasaan itu terus membelenggu diri.
“Ada beberapa (pengalaman peribadi). Tapi ya, saya sudah tidak memikirkan kalau orang yang sudah berniat seperti itu.
“Yang penting kita tidak seperti mereka. Saya terima. Saya pun tak mahu pandang belakang lagi,”katanya.
Penyanyi lagu Kepada Hati itu turut menyentuh mengenai makna ‘divine’ dalam hidupnya yang mana baginya, ia membawa pengertian satu bentuk kebebasan dan kesedaran spiritual yang membentuk kematangan diri, termasuk dalam berkarya.
“Divine itu buat saya, dari segi muzik, saya diberi kebebasan untuk memilih genre yang mungkin pada sebelum ini menyaksikan sebuah perjalanan muzik yang sangat panjang buat saya.
“Ia juga merangkumi cara pemikiran saya sekarang, dari aspek tingkah laku, dan saya lebih matang dalam apa sahaja yang saya katakan dan lakukan.
“Boleh dikatakan, macam ada satu titik asal di mana saya lebih mengurangi apa pun yang tidak perlu saya katakan, saya tidak akan katakan. Mungkin itulah yang dimaksudkan dengan kematangan diri,” katanya lagi.
Pada masa yang sama, jelas Cakra, walaupun lagunya sering beremosi dan menyentuh hati, dia tidak membenarkan muzik atau komen negatif terlalu mempengaruhi fikirannya.
“Kadang-kadang hampir terbawa-bawa juga dengan komen-komen orang. Tetapi saya tidak akan membenarkan diri untuk berikan respons tidak wajar.
“Tetapi dari segi lagu, kalau terlarut mendalam dengan sesebuah lagu itu perlu bagi penyanyi macam saya sebab ia boleh beri penjiwaan lebih ketika menyampaikannya kepada pendengar,”ujarnya.
Dalam pada itu, kata Cakra, ada satu kepantangan dalam dirinya jika mengaitkan isu komen-komen negatif yang diterimanya.
Menurut Cakra, dia tidak begitu gemar jika dirinya diperbandingkan dengan penyanyi lain.
Keadaan itu pernah berlaku ketika dia tampil dalam program pencarian bakat America’s Got Talent tidak lama dahulu, di mana dia dikaitkan dengan penyanyi, Putri Ariani.
“Saya selalu menganggapnya sebagai satu jenaka. Memang dari dulu, semenjak saya ikuti sebarang pertandingan, ada sahaja orang cuba bandingkan saya dengan mana-mana artis.
“Kalau orang mahu katakan suara saya jelik atau apa, saya sudah tidak kisah. Tapi kadang perbandingan itu membuat seolah-olah kita semua sama.
“Padahal kita semua pungai kelebihan masing-masing dan bagi saya, tidak ada yang perlu disamakan apa lagi dibandingkan.
“Kerana saya belum tentu boleh jadi seperti orang yang dibandingkan dan mungkin orang itu pun tidak sama seperti saya,”tegasnya.
Sementara itu, Cakra juga menambah bahawa dia mengamalkan privasi apabila menyentuh mengenai keterbukaannya tentang dunia media sosial.
Ini kerana dia lebih selesa berkongsi mengenai karya seni berbanding hal-hal peribadi.
“Saya orangnya memang sedikit privasi. Bagi saya, peminat-peminat berhak untuk mendapatkan berita tentang karya saya.Untuk hal-hal yang lebih peribadi, mungkin itu hak saya. Kerana sekarang berkongsi terlalu banyak tidak bagus juga.
“Kadangkala orang mengambil kesempatan dengan cara itu. Tapi itu hak masing-masing. Kalau saya, lebih baik berkongsi hal-hal baik saja untuk semuanya,” ujarnya.