KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Farid Kamil mendedahkan bahawa dirinya sudah hampir setahun tidak berhubung dengan bekas isterinya, Diana Danielle.
Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari, 44, berkata, biarpun tidak lagi berkomunikasi, kedua-dua mereka tetap menjalankan tanggungjawab bersama dalam membesarkan dua cahaya mata hasil perkahwinan itu.
“Tak ada komunikasi, sudah hampir setahun. Tetapi kita masih membesarkan anak-anak dengan baik. Itu matlamat yang sedang kami lakukan sekarang,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Munajjim: Sekutu Iblis, malam tadi.
Farid menegaskan bahawa komunikasi antara anak-anak masih berjalan seperti biasa memandangkan masing-masing sudah memahami situasi semasa.
“Zaman sekarang, budak-budak ada telefon bimbit sendiri. Jadi komunikasi bukan macam zaman dahulu.
“Orang kata tiadalah komunikasi terputus. Cuma kami (Farid dan Diana) kini berada di dunia dan ruang masa yang berbeza,” ujarnya.
Ketika diminta mengulas kenyataan Diana dalam sebuah program audio siar mengenai kehilangan sahabat sebagai momen paling menyakitkan dalam perkahwinan, Farid enggan memberi komen lanjut tentang perkara tersebut.
“Saya tidak tahu nak komen apa. Tetapi, saya ada lagu. Telahku cuba untuk berikan bunga… Itu sahaja,” katanya.
Tambahnya, dia kini lebih tenang dan memilih untuk terus menjalani kehidupan secara positif.
“Sudah hampir setahun dah. Apa yang boleh saya katakan juga adalah kita kena ‘bergerak ke hadapan’ iaitu jalani hidup dengan terus memandang ke hadapan.
“Anak saya pun sudah sama tinggi dengan produser, David Teo. Perubahan masa sekarang lebih pantas dan tiada berpatah balik.
“Saya bukan sudah ‘move on’, tapi saya sudah semakin berusia dan semakin bijak,” katanya.
Untuk rekod, Farid dan Diana, atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 33, mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad dan Nur Aurora.
Pasangan itu bercerai kali pertama pada 10 Ogos 2023 menerusi Google Meet dan rujuk semula sebulan kemudian, namun disahkan bercerai talak satu buat kali kedua pada 24 Mac lalu selepas 12 tahun berkahwin.