KUALA LUMPUR: Tiada sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa ke Dewan Rakyat pada hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15, semalam.
Ia sekali gus menamatkan spekulasi sebelum ini bahawa ada usaha ahli Parlimen untuk membawa usul tersebut bagi mendesak Anwar meletak jawatan.
Sebelum ini, Anwar mencabar pihak pembangkang membuktikan mereka mempunyai sokongan majoriti dengan membawa usul undi tidak percaya di Parlimen.
Namun, sehingga kini, tiada tindakan seumpamanya dibuat, memberi isyarat jelas bahawa dakwaan tersebut tidak disokong dengan kekuatan angka.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ketika menyempurnakan pemasyhuran mesyuarat Parlimen memaklumkan bahawa fokus utama sidang kali ini tertumpu kepada pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) dan usul-usul berkaitan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang dijangka memberi kesan signi kan kepada hala tuju pembangunan negara.Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sebarang usul undi tidak percaya dan jika ada, ia hanya akan dapat dipastikan pada hari pertama persidangan semalam.
Ahad lalu, Anwar menegaskan yang beliau tidak pernah menghalang penganjuran Himpunan Turun Anwar oleh pembangkang yang dijadualkan Sabtu ini, selagi ia mematuhi prinsip demokrasi dan undang-undang negara.
Namun beliau mengingatkan, perubahan kerajaan tidak boleh dicapai melalui demonstrasi jalanan, sebaliknya mesti dilakukan secara sah menerusi usul kehilangan sokongan terhadap Perdana Menteri yang dibawa dan diluluskan di Dewan Rakyat.
“Tuntutan supaya saya meletakkan jawatan tidak boleh dilayan hanya kerana tekanan perhimpunan. Segala tindakan perlu berlandaskan keluhuran Perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen,” katanya.
Malah Anwar ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam berkata tidak gentar dan sedia berdepan jika pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen.
Perdana Menteri berkata, beliau ada memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul supaya membenarkan usul sedemikian sekiranya ada dikemukakan di Parlimen.
“Saya beritahu kepada Speaker (Dewan Rakyat), hari pertama jika ada usul hari ini (semalam), saya akan tunggu usul undi tidak percaya. Jika mereka ada majoriti, silakan. Itu sistem kita,” katanya.
Usul undi percaya terhadap Anwar pernah dibentangkan pada 19 Disember 2022, tidak lama selepas beliau dilantik mengetuai Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Usul itu diluluskan melalui undian suara selepas dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong oleh Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam perkembangan berkaitan, Johari turut mengumumkan bahawa Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, sekali gus memulihkan semula autonomi institusi Parlimen yang dinantikan sejak sekian lama.
“Akta ini memperkukuh prinsip pemisahan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman serta memperkasa amalan demokrasi negara. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Parlimen yang menyokong akta bersejarah ini,” katanya.
Dalam pada itu, semua Ahli Parlimen turut diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum 7 November sebagai langkah pencegahan awal terhadap risiko kesihatan.
“Surat makluman akan diedarkan tidak lama lagi. Langkah ini penting untuk memastikan wakil rakyat sentiasa berada dalam keadaan kesihatan terbaik demi menunaikan tanggungjawab mereka kepada rakyat,” katanya, sambil memuji komitmen Ahli Dewan yang telah melaksanakannya selama dua tahun berturut-turut. – UTUSAN










