KUALA TERENGGANU: Tiada kebocoran maklumat berkaitan lokasi dan masa operasi penguatkuasaan pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di negeri ini.
Pengarah JIM Terengganu, Mohd. Yusri Mohd. Nor berkata, lokasi operasi ditentukan secara tertutup oleh ketua unit penguat kuasa tanpa pengetahuan pegawai atau anggota lain yang terlibat bagi menjamin keberkesanan tindakan.
Katanya, perincian berkaitan lokasi dan masa operasi dikendalikan secara sulit bagi mengelakkan sebarang kebocoran maklumat yang boleh menjejaskan hasil serbuan.
“Kita sendiri pun tidak tahu dan tidak dimaklumkan lokasi operasi walaupun turut menyertai serbuan,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Setia Berjasa di Dewan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam.
Mengulas statistik semasa, Mohd. Yusri berkata, sepanjang Januari hingga semalam, sebanyak 383 operasi dijalankan di seluruh negeri dengan pemeriksaan ke atas 4,978 warga asing.
“Daripada jumlah itu, seramai 929 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan. Antara kesalahan utama yang direkodkan adalah tinggal tanpa permit sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 melibatkan 437 individu. Sebanyak 254 individu pula didapati melanggar syarat pas atau permit berdasarkan Peraturan 39(b),” katanya.
Sementara itu, seramai 238 PATI ditahan kerana tinggal melebihi tempoh pas mengikut Seksyen 15(1)(c) manakala 32 majikan diberkas kerana membenarkan PATI berada di premis mereka mengikut Seksyen 55E akta sama. – UTUSAN











