Thailand, Kemboja capai kata sepakat gencatan senjata serta-merta

Thailand, Kemboja capai kata sepakat gencatan senjata serta-merta

Anwar Ibrahim menerusi sidang akhbar bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet (kiri) dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai selepas sesi mesyuarat khas yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Thailand dan Kemboja hari ini mencapai kata sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan konflik sempadan yang berlaku di antara kedua-dua negara.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sidang akhbar bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai selepas sesi mesyuarat khas yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana.

“Perdana Menteri Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai menyatakan pendirian dan kesediaan mereka untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan kembali kepada keadaan seperti sedia kala (normalcy),” katanya.

Terdahulu, Anwar selaku hos, Pengerusi ASEAN dan saksi mempengerusikan mesyuarat khas antara kedua-dua wakil negara itu yang bermula pada pukul 3.15 petang sebelum berakhir kira-kira dua jam kemudian.

Sesi itu turut disertai oleh Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan sebagai penganjur bersama mesyuarat khas dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing sebagai pemerhati.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat itu merupakan langkah pertama yang penting ke arah penyuraian ketegangan serta pemulihan keamanan dan keselamatan.

Menurut beliau, kedua-dua negara telah mencapai persefahaman bersama untuk mengadakan mesyuarat tidak rasmi komander-komander serantau melibatkan Tentera Wilayah 1 dan 2 di pihak Thailand dan Tentera Wilayah 4 dan 5 di pihak Kemboja pada pukul 7 pagi esok, diikuti mesyuarat bersama Atase Pertahanan yang diketuai oleh Pengerusi ASEAN, jika kedua-dua pihak bersetuju.

Selain itu, katanya, Thailand dan Kemboja akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) pada 4 Ogos ini yang akan dihoskan oleh Kemboja.

“Sebagai Pengerusi semasa ASEAN, Malaysia bersedia untuk menyelaras satu pasukan pemerhati bagi mengesahkan dan memastikan pelaksanaan keputusan tersebut.

“Malaysia juga akan berunding dengan negara-negara ahli ASEAN lain untuk menyertai usaha pemantauan ini, sebagai mencerminkan komitmen serantau dalam menyokong keamanan di lapangan,” ujarnya.

Anwar berkata, kerjasama semua pihak menekankan komitmen bersama terhadap keamanan, dialog dan kestabilan serantau.

“Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump telah menghubungi pemimpin kedua-dua negara dan menggesa mereka mencari penyelesaian secara aman terhadap situasi ini.

“Pihak China telah menjalinkan hubungan rapat dengan Kemboja, Thailand, Malaysia dan negara-negara berkaitan untuk secara aktif mempromosikan dialog, gencatan senjata dan pemulihan keamanan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menyambung semula komunikasi langsung antara kedua-dua Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan.

“Menteri-menteri Luar Negeri dan Menteri-menteri Pertahanan Malaysia, Kemboja dan Thailand telah diarahkan untuk membangunkan satu mekanisme terperinci bagi pelaksanaan, pengesahan dan pelaporan gencatan senjata ini. Mekanisme ini akan menjadi asas kepada keamanan berkekalan dan akauntabiliti.

“Mesyuarat ini mengukuhkan semula tekad bersama Malaysia, Kemboja dan Thailand untuk menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, kewujudan secara aman dan kerjasama pelbagai hala dalam usaha mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap situasi ini,” katanya.

Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara itu memuncak pada 25 Julai lalu sehingga mencetuskan pertempuran bersenjata di kawasan utara Kemboja.

Ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara itu meningkat sejak 28 Mei, susulan insiden berdarah di kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan, menyebabkan kematian seorang anggota tentera Kemboja.

Kedua-dua negara telah berselisih pendapat mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer yang belum dimuktamadkan selama beberapa dekad dan pertikaian ini terus menjejaskan hubungan diplomatik mereka.

Sehingga Sabtu lalu, jumlah kematian akibat konflik panjang antara Thailand dan Kemboja meningkat kepada 33 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN