KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) memilih Thailand sebagai destinasi seterusnya bagi aksi pemanas badan menjelang sepak mula Liga Malaysia musim 2025/2026 yang dijadualkan bermula bulan depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, pemilihan Thailand dibuat selepas perancangan asal ke Indonesia dibatalkan atas faktor teknikal.
Katanya, pasukan kendalian Badrul Afzan Razali itu berdepan dua kelab dari Selatan Thai iaitu FC Yala pada 24 Julai diikuti Nara United sehari kemudian dalam siri jelajah kali ini.
“Pada awalnya, kita memang merancang ke Indonesia namun hanya satu pasukan yang sedia untuk aksi persahabatan. Jadi kita anggap ia tidak berbaloi walaupun TFC ditaja sepenuhnya untuk ke sana.
“Kita susun pelan baharu dan akhirnya bersetuju untuk ke Thailand. Di sana, TFC menentang dua pasukan tempatan sebelum kembali ke tanah air untuk menyambung aksi terakhir pramusim,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara TFC dan Klinik Wildan di Hotel Grand Puteri, di sini hari ini.
Menurutnya, TFC turut dijadual mengadakan dua lagi perlawanan persahabatan domestik menentang Kelantan Red Warriors FC (KRW) pada 29 Julai di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) diikuti Kelantan TRW di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada 2 Ogos depan.
Dalam majlis yang sama, TFC turut mengumumkan kerjasama dengan Klinik Wildan yang menyumbang tajaan bernilai RM155,000 untuk kegunaan musim ini. – UTUSAN











