BELAWAI: Terlebih muatan dikenal pasti menjadi punca tragedi bot karam pada Sabtu lalu, yang meragut 10 nyawa di Pantai Belawai di sini.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Aswandy Anis berkata siasatan awal pihaknya mendapati saiz bot fiber yang kecil itu tidak sepatutnya membawa penumpang seramai 17 orang, yang ditambah lagi dengan muatan barangan.
“Keadaan bot kecil dengan 17 orang termasuk barangan menyebabkan ia sukar dikawal.
“Apabila melalui kawasan ombak kuat, bot tersebut terus karam,” katanya pada sidang media selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian, pagi tadi.
Justeru, beliau mengingatkan khususnya pengendali bot serta penduduk setempat agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di sungai atau laut.
“Jangan ambil mudah soal keselamatan, kita tidak menyangka keadaan sungai juga boleh berombak besar secara tiba-tiba,” katanya.
Dalam tragedi yang berlaku kira-kira pukul 2 petang Sabtu lalu, sebuah bot fiber membawa 17 warga Indonesia karam akibat ombak besar ketika dalam perjalanan dari jeti nelayan Kampung Belawai menuju ke Jeti Ladang Kelapa (Zion Pelita).
Sepuluh mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada lima lelaki dewasa, dua wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Manakala tujuh mangsa yang selamat ialah empat lelaki dewasa, dua peremuan dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kesemua mangsa tragedi bot karam di Pantai Belawai dijumpai, menjadikan seramai 10 orang meninggal dunia.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata lima mayat yang terdiri daripada kesemua lelaki dewasa dijumpai pagi tadi oleh orang awam dan Pasukan Pengawal Pantai Sarawak, antara pukul 6.50 hingga 8.30 pagi.
“Tiga mayat dijumpai di kawasan Muara Belawai dan dua masing-masing di simpang Sungai Pinang dan muara Sungai Selumit,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, katanya mayat seorang lagi daripada enam mangsa yang hilang ditemukan kira-kira pukul 6 petang semalam.
Beliau berkata mayat kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu dijumpai pada jarak lebih kurang 300 meter dari Pos Kawalan Operasi Bomba (PKOB). – UTUSAN