Terlalu aktif, suami gusar Yana Samsudin hadapi komplikasi kehamilan - Utusan Malaysia

Terlalu aktif, suami gusar Yana Samsudin hadapi komplikasi kehamilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Yana Samsudin yang kini telah keluar daripada menerima rawatan di pusat perubatan swasta dinasihati untuk lebih berwaspada bagi mengelak daripada mengalami preeklampsia iaitu komplikasi berkaitan kehamilan. 

Menurut suami kepada pelakon itu, Fadzil Zahari, dia gusar sekiranya Yana yang kini sedang hamil lima bulan berisiko mengalami penyakit tersebut sekali lagi. 

“Alhamdulillah, setakat ini semuanya okay. Yana sihat dan kandungan dalam keadaan baik. Cuma doktor pesan berhati-hati sebab semasa mengandung anak ketiga dulu dia pernah alami preeklampsia.

“Kata doktor, apabila seseorang wanita hamil sudah pernah alami penyakit itu, besar kemungkinan dia boleh kena lagi apabila kandungan memasuki usia tujuh bulan,” katanya ketika dihubungi  Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, sebagai suami, dia mengambil serius nasihat yang diberikan doktor dan sering mengingat isteri agar  tidak terlalu aktif lebih-lebih lagi mengetahui isterinya seorang yang sibuk.

“Saya kena sentiasa pantau pergerakan dia. Dia pula jenis lasak, saya pesan banyak kali pun dia tetap juga nak aktif.

“Alhamdulillah, mujur hari itu kami sampai ke hospital cepat kerana Yana mengalami dehidrasi. Bila dia sudah ‘drip’, maka sakitnya cepat sembuh,” ujarnya.

Terdahulu, Yana dimasukkan ke pusat perubatan swasta di Shah Alam selepas mengalami dehidrasi dan menerima rawatan selama tiga hari sebelum dibenarkan pulang.

Namun menurut Fadzil, sebaik sahaja keluar wad, Yana tetap bersemangat menghadiri perjumpaan keluarga dan kini sudah kembali bekerja seperti biasa. 

Untuk rekod, Yana dan Fadzil berkahwin pada 2015 dan kini memiliki tiga cahaya mata. Mereka kini menanti kelahiran anak keempat yang dijangka lahir hujung tahun ini. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN