KUALA TERENGGANU: Sebanyak 73,051 pegangan pertanian direkodkan di Terengganu berdasarkan Laporan Interim Banci Pertanian 2024 yang dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim berkata, daripada jumlah itu, 72,367 pegangan atau 99.1 peratus adalah milik individu manakala 684 pegangan atau 0.9 peratus milik pertubuhan.
Beliau berkata, sebanyak 58,435 pegangan melibatkan subsektor tanaman diikuti oleh ternakan (12,018 pegangan), perikanan tangkapan (3,013 pegangan), akuakultur (988 pegangan) serta perhutanan dan pembalakan (195 pegangan).
“Terengganu merupakan penyumbang terbesar dari segi bilangan pegangan dalam subsektor ternakan, iaitu merangkumi 25.7 peratus daripada keseluruhan 46,781 pegangan ternakan di Malaysia,” katanya selepas Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 peringkat Negeri Terengganu yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, di sini, hari ini.
Azman berkata, pegangan pertanian individu di negeri ini didominasi oleh golongan lelaki iaitu seramai 54,291 orang atau 75.0 peratus, berbanding 18,076 orang atau 25.0 peratus dalam kalangan wanita.
“Keluasan bertanam bagi subsektor tanaman direkodkan sebanyak 227,000 hektar, manakala keluasan bertuai pula berjumlah 195,300 hektar. Tanaman kelapa sawit mencatatkan keluasan bertanam dan bertuai tertinggi, diikuti oleh tanaman getah dan padi. Pada tahun 2023, subsektor tanaman di Negeri Terengganu mencatatkan pengeluaran sebanyak 3.6 juta tan metrik,” katanya.
Menurut beliau, subsektor perikanan tangkapan pula merekodkan pengeluaran sebanyak 41,900 tan metrik manakala subsektor akuakultur menyumbang 12,500 tan metrik dan 94.1 juta ekor baka atau benih termasuk ikan hiasan.
“Nilai jualan keseluruhan hasil sektor pertanian negeri Terengganu pula berjumlah RM5.39 bilion, menunjukkan sumbangan signifikan sektor ini kepada ekonomi negeri. Majlis peluncuran ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kefahaman dan kesedaran pihak berkepentingan terhadap kedudukan semasa sektor pertanian negeri,” katanya. – UTUSAN










