MELAKA : Pekerja asing di sebuah tapak pembinaan di Melaka Tengah didapati terpaksa menggunakan kemudahan tandas dan tempat mandi terbuka selain tinggal dalam keadaan tidak selesa, tanpa katil, almari dan ruang dapur yang bersih.
Keadaan menyedihkan itu terbongkar hasil operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Melaka bersama beberapa agensi lain termasuk Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Jabatan Kesihatan Negeri dan polis, pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, sebanyak empat blok kabin dan kontena dijadikan tempat tinggal kepada 190 pekerja asing serta 57 pekerja tempatan di tapak projek berkenaan.
“Kita dapati tandas sangat kotor, tiada privasi, malah tempat mandi terbuka tanpa pengasingan lelaki dan wanita, ini jelas tidak mematuhi piawaian di bawah Akta 446.
“Selain itu, sampah berlonggok dan persekitaran tidak dijaga menyebabkan tapak ini turut menjadi lokasi pembiakan nyamuk,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Penguatkuasaan Akta 446 di sebuah tapak pembinaan di Tambak Paya, di sini hari ini.
Tambah beliau, majikan pernah membuat permohonan bagi pengiktirafan penginapan pekerja di bawah Seksyen 24D Akta 446, namun permohonan itu ditolak kerana tidak memenuhi standard minimum.
“Pemeriksaan turut mendapati beberapa kesalahan lain seperti premis makanan dan kedai runcit beroperasi tanpa lesen serta dua kawasan pembiakan nyamuk yang dikenakan tindakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri.
“JTK akan membuka kertas siasatan dan jika disabitkan kesalahan, majikan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan negeri komited untuk memastikan kebajikan pekerja asing dan tempatan di semua tapak pembinaan terpelihara dengan pemantauan berterusan ke atas pematuhan Akta 446. – UTUSAN









