BUKIT MERTAJAM : Polis mengesahkan bahawa tayar pecah menjadi punca sebuah motosikal terbabas sehingga meragut nyawa seorang remaja perempuan di Kilometer 136.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah Utara di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, terdahulu, mangsa yang berusia 17 tahun itu dikatakan membonceng motosikal tersebut yang ditunggangi oleh seorang lelaki berusia 23 tahun.
Beliau berkata, kemalangan berlaku ketika mereka dalam perjalanan dari arah Juru menuju ke Sungai Dua, di sini kira-kira pukul 9.47 malam.
“Siasatan mendapati, setibanya di lokasi, tayar belakang motosikal yang mereka naiki pecah secara tiba-tiba sehingga menyebabkan penunggang hilang kawalan dan terbabas hingga ke lorong kiri di bahu jalan.
“Akibat kemalangan itu juga, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) manakala pemboncengnya pula disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Helmi, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta supaya menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor K. Vignesh di talian 011-14572390 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, beberapa keping gambar kemalangan yang berlaku berhadapan Masjid Jamek Seberang Jaya itu tular di media sosial sejak pagi tadi.-UTUSAN