Taufiq cabar pembangkang bawa usul tidak percaya terhadap PM

Taufiq cabar pembangkang bawa usul tidak percaya terhadap PM

TAUFIQ JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pembangkang dicabar membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada masa sama menamakan calon yang layak menggantikan Ahli Parlimen Tambun itu.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, sehingga kini tiada pemimpin yang lebih layak berbanding Anwar untuk menerajui negara, terutama bagi memulihkan ekonomi dalam suasana global yang tidak menentu.

“Jika pembangkang benar-benar berani, saya cabar mereka bawa usul undi tidak percaya dalam Parlimen. Adakah mereka mampu meraih sokongan majoriti dan sila namakan siapa calon yang difikirkan sesuai untuk ambil alih tampuk kepimpinan negara. 

“Dalam situasi ekonomi yang mencabar, termasuk tekanan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, kita perlukan keseimbangan antara pemulihan dan pembangunan ekonomi negara,” katanya ditemui pada Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Medan Selera Jalan Dewa, di sini, hari ini.

Beliau mengulas gerakan pihak tertentu yang didakwa cuba menimbulkan sentimen menolak kepimpinan kerajaan sedia ada termasuk penganjuran Himpunan ‘Turun Anwar’ di beberapa lokasi sejak kelmarin.

Mohammed Taufiq berkata, himpunan seperti itu tidak berasas kerana Anwar kini disokong oleh 154 Ahli Parlimen yang kekal menyokong pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

“Kita perlu faham apakah asas perhimpunan itu. Perdana Menteri telah melakukan pelbagai usaha membangunkan negara, pelaburan asing meningkat, bantuan kebajikan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dinaikkan setiap tahun dan Belanjawan Madani turut ditingkatkan.

“Jadi, apakah keutamaan penganjuran himpunan tersebut? Sekadar mainkan sentimen dan apa sebab sebenar mahu ‘Turunkan Anwar’?,” soalnya.

Justeru, beliau menggesa rakyat agar tidak terpengaruh dengan sentimen politik yang tidak berasas, sebaliknya menilai prestasi pentadbiran kerajaan secara objektif dan menyeluruh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN