PETALING JAYA: Jenayah rentas sempadan tidak mampu diselesaikan dengan sebelah pihak yang bercita-cita tinggi sahaja dan puncanya tidak dibanteras secara habis-habisan melibatkan kerjasama semua negara ASEAN.
Pensyarah Keselamatan dan Kajian Strategik di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Dr. Mohd Mizan Aslam berkata, rantau ini memerlukan tindakan untuk menoktahkan isu yang wujud memandangkan cakap sahaja tidak menyelesaikan jenayah serantau.
“Saya fikir ia juga ada berkaitan dengan isu kerjasama antara negara dan ketelusan atau integriti. Ramai yang akan marah bila kita sentuh isu ini tetapi hakitkatnya memang wujud, saya sendiri pernah pergi ke kawasan tumpuan jenayah itu dan sememangnya dipenuhi sindiket.
“Sindiket-sindiket ini juga tidak akan dapat masuk dengan mudah ke sesebuah negara melainkan mempunyai ‘bantuan’ daripada orang dalam sendiri untuk lepas pelbagai sekatan yang dilakukan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, sebanyak 10 agenda keselamatan akan menjadi fokus perbincangan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN pada September ini.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan berkata, satu daripada agenda itu ialah menangani jenayah rentas sempadan.
Mohd. Mizan berkata, Malaysia perlu mewujudkan sebuah sistem pemprofilan yang lengkap untuk mengesan warga asing di dalam negara termasuk tempat tinggal, pekerjaan dan perkara yang dilakukan mereka.
“Selain itu, kerajaan boleh mewujudkan dasar-dasar yang tidak mesra pada warga asing. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan kumpulan itu secara perlahan-lahan ‘keluar’ daripada negara kita,” katanya.
Mengulas persidangan itu, beliau berkata, ia perlu memberikan fokus kepada langkah-langkah yang berdasarkan tindakan terutama jenayah rentas sempadan seperti dadah dan pemerdagangan manusia.
“Daripada segi tiga emas sampai ke Malaysia, negara kita menjadi tumpuan sindiket-sindiket berkenaan sebab kita mempunyai nama yang baik di peringkat antrabangsa. Jadi jika penghantaran itu datang dari Malaysia, ia akan lebih mudah masuk berbanding negara lain,” katanya.-UTUSAN











