Tangani beban tugas guru lebih strategik

Tangani beban tugas guru lebih strategik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Isu beban tugas guru sudah pun menjadi rahsia terbuka, justeru cadangan yang dibangkitkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) yang menggesa Kementerian Pendidikan menubuhkan satu jawatankuasa khas secara rasmi bagi menangani isu beban tugas guru yang semakin membelenggu warga pendidik wajar diberi perhatian serius.

Pihak kementerian perlu menerima dengan hati terbuka dan mengakui bahawa masalah beban tugas guru masih menghantui warga pendidik sekali gus menuntut tindakan strategik tuntas sebagai jalan penyelesaian yang lebih menyeluruh.

Hal ini penting kerana kita tidak mahu masalah yang berlarutan sekian lama ini terus menjadi duri dalam daging sehingga menjejaskan motivasi dan semangat guru selain memberi kesan langsung kepada proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).

Sebagai persatuan ibu bapa dan guru (PIBG )kami khuatir isu ini boleh menjejaskan masa depan anak-anak dan kualiti pendidikan di bilik darjah.

Pada tahun 2023, Kementerian Pendidikan mengumumkan pelaksanaan tujuh langkah segera bagi memastikan isu beban tugas guru dapat ditangani dengan segera.

Kita memohon agar inisiatif yang telah dilaksanakan serta hasilnya diumumkan untuk pengetahuan khalayak. Ironinya, kita mahu tahu apa hasil pelaksanaan tujuh langkah tersebut selepas hampir dua tahun seperti diumumkan.

Perkara ini perlu diaudit di peringkat pelaksanaan untuk mengetahui apa yang sedang berlaku di peringkat sekolah.

Disarankan pihak kementerian melaksanakan kajian untuk mendapatkan maklum balas terus daripada para guru tentang pelaksanaan tujuh langkah tersebut bagi melihat keberkesanannya.

PIBG menyokong penuh saranan ini dan diharap Kementerian Pendidikan dapat menubuhkan jawatankuasa khas untuk semak semua langkah yang telah dilaksanakan bagi menilai keberkesanannya.

Justeru saya bagi pihak PIBG menyokong penuh saranan ini dan diharap kementerian dapat menubuhkan jawatankuasa khas untuk semak semua langkah yang telah dilaksanakan bagi menilai keberkesanannya.

Kita mahu isu ini diselesaikan dengan segera supaya guru boleh memberi perhatian yang lebih fokus kepada tugas hakiki profesional mereka. Ini lebih adil bukan saja kepada guru tetapi juga kepada murid. Selain itu, baru-baru ini kementerian mengumumkan pelbagai inisiatif dan reformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya mengatasi isu kekurangan guru dalam negara. Ini satu berita yang cukup menggembirakan dan ditunggu-tunggu oleh semua pihak.

Noor Mohamad Shakil Hameed, YDP PIBG SMK Seri Serdang

Nota: untuk sebarang komentar, saranan. cadangan isu pendiidkan e-mel ke [email protected]

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN