Tak masuk akal, luar biasa kongsi pentas dengan Siti Nurhaliza - Noh - Utusan Malaysia

Tak masuk akal, luar biasa kongsi pentas dengan Siti Nurhaliza – Noh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENTING HIGHLANDS: Penyanyi dan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, menyifatkan kesempatan menjadi tetamu undangan di Konsert Violet Skies Siti Nurhaliza sebagai pencapaian tertingginya sebagai artis.

Noh atau Mohammad Noh Salleh Sadeli, 40, yang berkongsi pentas dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan tiga buah lagu iaitu Bengawan Solo, Rahsia Tuhan dan Pagi Yang Gelap.

“Sebagai tetamu pada majlis berprestij hari ini, untuk Noh Salleh ini adalah pencapaian tertinggi saya sepanjang menjadi artis.

“Terima kasih banyak daripada hati saya paling dalam. Ia sangat luar biasa dan tidak masuk akal buat saya yang boleh berkongsi pentas dengan penyanyi nombor satu Malaysia,” katanya ketika di atas pentas.

Noh dan Datuk Seri Siti Nurhaliza masing-masing ditemui Utusan Malaysia di Konsert Violet Skies Siti Nurhaliza di Arena of Starts, Genting Highlands, semalam.

Dalam pada itu, Siti dilihat tersenyum mendengar ucapan Noh selain berseloroh tidak menyangka penyanyi rock sepertinya boleh menjadi sopan ketika itu.

“Selalu kita tengok Noh lompat-lompat. Tapi malam ini, Noh macam lain,” kata Siti disambut gelak tawa peminat.

Jelas Siti lagi, ini kali kedua dia dan Noh bergandingan. Kali terakhir mereka berkolaborasi adalah menerusi lagu Begawan Solo yang dinyanyikan bersama 15 tahun lalu.

Pada konsert yang berlangsung selama dua malam itu, Siti menyanyikan 19 buah lagu dihadapan kira-kira 4,600 peminat yang hadir.

Tidak hanya menyanyikan lagu balada dan etnik kreatif, Biduanita Negara itu juga turut bertenaga membawakan ‘medley’ lagu rock popular seperti Di Alam Fana Cinta dan Seribu Tahun Tak Akan Mungkin dalam satu sesi khas. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN