KUALA LUMPUR: Penyanyi, Tajul Ariff mencuri perhatian warganet apabila isterinya berkongsi pengalaman menyentuh hati saat Tajul melakukan sendiri sunnah tahnik terhadap anaknya buat kali pertama, meskipun sudah memiliki dua cahaya mata sebelum ini.
Menerusi video yang dimuat naik di platform TikTok milik isterinya, Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md Shari kelihatan tenang dan tertib ketika menyempurnakan amalan yang dianjurkan Rasulullah SAW itu.
Isteri kepada penyanyi Serpihan Rindu itu, menitipkan doa agar anak bongsunya sentiasa berada di bawah lindungan Ilahi.
“Kali pertama ayah dia tahnik anak sendiri. Semoga anak bongsu ibu seorang ini sentiasa di bawah lindungan Allah SWT dan semoga baik-baik sahaja untukmu,” tulisnya.
Perkongsian tersebut dihujani reaksi positif daripada warganet yang memuji kesungguhan Tajul menjalankan tanggungjawab sebagai bapa dalam membesarkan anak-anak mengikut acuan Islam.
“Memang sebaiknya bapa yang tahnikkan anak. Alhamdulillah, tahniah atas kelahiran.
“Bagus, ini baru betul sunnah yang sebenarnya, baru lahir dah buat tahnik terus,” tulis pengguna Tiktok di ruangan komen.
Tahnik merupakan sunnah yang dilakukan dengan meletakkan sedikit manisan seperti kurma ke dalam mulut bayi dan digosok ke lelangit dengan penuh kasih sayang. Amalan itu dipercayai membawa keberkatan serta kekuatan kepada bayi yang baru lahir.
Untuk rekod, Tajul dan pasangannya, Nurul Shamimi Zaini mendirikan rumah tangga pada Disember 2017 dan mereka kini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Adriana Carissa, Adrian Rifqy, dan bayi lelaki yang namanya masih belum didedahkan kepada umum. – UTUSAN