PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan kekecewaan kerana hanya menerima peruntukan RM200,000 sebagai wakil rakyat di blok pembangkang.
Menerusi hantaran dalam Facebook, Syed Saddiq berkata, peruntukan itu diterima selepas berunding lebih 500 hari dengan pihak kerajaan.
Sedangkan, katanya, ahli Parlimen Kerajaan menerima peruntukan yang jauh lebih besar iaitu berjumlah RM20 juta bagi tempoh sepenggal.
“Peruntukan itu tidak boleh digunakan untuk bantuan kebajikan rakyat, memperbaiki infrastruktur rakyat dan apa-apa sumbangan.
“Hanya digunakan untuk membayar sewa pejabat, gaji staf, peralatan dan pengurusan pejabat kerana akan diaudit sepenuhnya,” katanya yang memuat naik hantaran itu semasa menghadiri mesyuarat kedua penggal keempat Parlimen Ke-15, di sini hari ini.
Walaupun dilayan sedemikian rupa, beliau berjanji akan bekerja keras dan melancarkan inisiatif mengumpul dana demi kepentingan penduduk di kawasan Parlimennya.
“Semasa enam bulan lalu, melalui pelbagai kerja ‘baharu’ saya sudah berjaya menyumbangkan lebih RM2 juta untuk kebajikan Muar dari usaha sendiri.
“Alhamdulillah, saya akan teruskan usaha ini. Satu pintu ditutup, 10 lagi dibuka,” katanya. – UTUSAN










