BUTTERWORTH : Polis masih mengesan suspek yang disyaki melepaskan lima das tembakan ke arah sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki tempatan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Nyior, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu, mangsa yang sedang menunggu anaknya di hadapan sekolah tersebut bagaimanapun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun kenderaannya menjadi sasaran tembakan suspek.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku apabila dua lelaki bermotosikal yang tidak dikenali menghampiri mangsa sebelum melepaskan tembakan ke arah kenderaan berkenaan.
“Motif sebenar kejadian bagaimanapun masih belum dapat dikenal pasti buat masa ini dan usaha mengesan suspek juga sedang giat dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar berhubung kejadian tembakan itu di media sosial sejak malam tadi.
Mengulas lanjut, Mohd. Alwi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan membunuh.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Shuheri Abd Rani di talian 04-5762222 sambungan 2275 atau hadir ke balai polis berhampiran.
“Dalam hal ini, polis juga ingin mengingatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi termasuk menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan dan menggugat ketenteraman awam,” katanya.-UTUSAN