JASIN: Surau Darul Dhiya di Taman Sebatu Putra, Merlimau di sini disahkan sebagai lokasi yang tular berhubung kesilapan penulisan khat kufi kalimah Allah yang menjadi perhatian ramai sejak pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, susulan isu berkenaan, beliau telah mengarahkan pegawai dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) turun ke lokasi untuk siasatan lanjut.
“Saya telah minta pihak pengurusan surau supaya tidak menanggalkan khat berkenaan sehingga pengesahan rasmi dilakukan.
“JAIM dan KDN akan membuat pemeriksaan esok dan saya sendiri mungkin turun padang ke lokasi bagi melihat keadaan sebenar,” katanya ketika kepada pemberita hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di surau berkenaan mendapati, khat kufi berkenaan masih dipamerkan di ruang solat utama dan belum ditanggalkan.
Ahli kariah surau ketika ditemui meluahkan rasa terkejut dengan pendedahan tersebut kerana tidak menyedari langsung kesilapan itu sejak tiga tahun lalu.
“Kami hanya tahu selepas ia tular di media sosial pagi tadi. Setakat ini kami masih menunggu tindakan lanjut daripada pihak berkuasa agama,” katanya.
Isu tersebut mula mendapat perhatian selepas seorang pempengaruh terkenal, Mohd. Fadli Salleh memuat naik gambar khat kufi berkenaan di akaun Facebook miliknya sekitar pukul 10 pagi.
Perkongsian yang mencetuskan pelbagai reaksi itu turut meraih perhatian ribuan pengguna media sosial yang menyuarakan kekeliruan dan kebimbangan terhadap ketepatan penulisan kalimah suci tersebut. – UTUSAN