KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperhalusi kaedah terbaik bagi pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 bagi memastikan langkah tersebut tidak memberi kesan negatif kepada rakyat.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri menegaskan sebarang keputusan berkaitan subsidi perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati.
“Perdana Menteri ada menyatakan pandangan bahawa beliau tidak mahu pelaksanaan dasar-dasar yang akan mendatangkan kesan yang negatif kepada majoriti rakyat.
“Itulah antara sebab kenapa setelah pelaksanaan beberapa dasar sebelum ni sama ada penyasaran semula subsidi diesel dan beberapa ikhtiar yang lain kita lihat perlu ada sedikit penelitian,” katanya pada sidang akhbar mingguan di Parlimen di sini hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkara tersebut turut dibincangkan dalam permukiman bersama ahli-ahli Parlimen semalam dan kerajaan komited memastikan setiap langkah diambil dengan mengambil kira kebajikan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.
“Kerajaan akan pastikan tidak ada kesan knock on effect yang negatif maka kalau kita lihat dalam isu peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) juga ada beberapa perkara yang telah diteliti setelah diumumkan maka beberapa penyesuaian dilaksana.
“Samalah juga dengan dasar-dasar yang belum dilakukan tapi telah dibayangkan ataupun disebut sebelum ini mengenai RON95,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan kerajaan akan mengumumkan mekanisme lengkap bagi melaksanakan penyelarasan subsidi minyak petrol RON95 kepada rakyat selepas separuh pertama tahun ini dengan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga.
Beliau berkata, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.-UTUSAN