Stok rendah punca jeruk belum dieksport

Stok rendah punca jeruk belum dieksport

MESKIPUN jeruk tempatan mendapat permintaan tinggi daripada pengguna, pengeluaran yang rendah menyebabkannya belum boleh dieksport lagi. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Meskipun jenama jeruk tempatan semakin mendapat tempat di hati pengguna ketika ini, pengeluaran produk makanan ikonik Pulau Pinang itu masih belum mencukupi untuk menampung pasaran domestik.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar negeri, Datuk Rashidi Zinol berkata, keperluan pasaran domestik perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum ia dieksport secara besar-besaran ke luar negara.

Menurutnya, permintaan terhadap jeruk Pulau Pinang dalam pasaran tempatan masih tinggi sehingga menyebabkan pengeluar utama sering berdepan isu kekurangan stok.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dalam hal ini, beberapa syarikat jeruk baharu yang sedang meningkat naik, termasuk syarikat besar seperti Jeruk Pak Ali, memang mempunyai jualan yang sangat memberangsangkan namun stok mereka belum mencukupi untuk tujuan eksport,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mingguan Malaysia dalam laporannya semalam menyentuh mengenai jeruk sebagai produk ikonik di Pulau Pinang dan sumbangannya terhadap ekonomi negeri selain masa depan produk makanan tersebut.

Rashidi berkata, walaupun terdapat usaha untuk mempromosikan jeruk tempatan di luar negara melalui penyertaan dalam ekspo dan delegasi perdagangan, keutamaan masih diberikan kepada pasaran domestik yang belum dapat dipenuhi sepenuhnya.

“Jadi, kalau tanya saya, eksport belum ada lagi. Kita akan bawa ke program seperti di Jepun nanti untuk promosi, tapi untuk betul-betul hantar keluar secara komersial, stok masih belum mencukupi,” katanya.

Ketika ini katanya, kerajaan negeri sedang memantau perkembangan industri jeruk dengan teliti serta berusaha untuk menyediakan platform dan kemudahan bagi membantu pengusaha tempatan berkembang.

“Buat masa ini, bantuan seperti geran banyak datang daripada agensi kerajaan Persekutuan manakala kerajaan negeri lebih kepada memudah cara serta menyediakan tempat seperti ‘one-stop center’ untuk membantu pemasaran usahawan tempatan.

“Kita mahu jenama-jenama seperti Jeruk Pak Ali bukan sahaja terus kekal sebagai ikon industri jeruk, tetapi juga menjadi pemangkin kepada pengusaha kecil lain,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga sedang dalam proses mengambil alih sebuah premis di Komtar untuk dijadikan pusat jualan jeruk dan produk usahawan tempatan, di mana Jeruk Pak Ali dijangka memainkan peranan utama dalam usaha tersebut.

“Usaha ini merupakan strategi serampang dua mata di mana kita bantu syarikat besar terus berkembang dan pada masa sama, bawa usahawan kecil seiring ke hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini