PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan terhadap seorang taikun Singapura yang didakwa terlibat dalam skandal perlombongan di Sabah.
Menurut sumber, siasatan itu merujuk kepada kandungan sebuah artikel yang tular di media sosial dan mendakwa ahli perniagaan itu terbabit dalam urus niaga serta penyaluran dana kepada pihak berkepentingan membabitkan isu berkenaan.
Katanya, SPRM sedang meneliti maklumat berkaitan serta akan memanggil beberapa saksi dalam masa terdekat bagi membantu siasatan awal.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan siasatan terhadap dakwaan itu sudah dimulakan.
“SPRM akan memanggil saksi berkaitan untuk dirakam percakapan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.
Maklumat berhubung dakwaan itu sebelum ini disiarkan dalam satu laporan oleh sebuah portal yang mendakwa taikun Singapura itu dikaitkan secara langsung dengan pembiayaan kepada pemimpin politik.
Dedah laporan itu, siasatan SPRM memfokuskan kepada pembabitan pemimpin utama sebuah parti politik di Sabah dalam jaringan kartel lesen dan konsesi mineral di mana dalangnya dikatakan disokong dana dari luar negara.- UTUSAN