PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus menyokong agenda kerajaan dalam memerangi rasuah dengan berpegang teguh kepada prinsip bebas, telus dan profesional dalam melaksanakan tugas.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pendekatan tegas kerajaan menangani isu rasuah merupakan langkah strategik yang akan membawa keuntungan kepada negara, khususnya dalam memastikan ketelusan dan tadbir urus baik.
Bagaimanapun, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap sikap materialistik masyarakat kini yang menyumbang kepada kewujudan corrupt minded society.
Beliau merujuk kepada satu kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2003 yang mendapati 30 peratus mahasiswa ketika itu mengakui sanggup menerima rasuah, di mana golongan itu kini telah memasuki pasaran kerja.
“Operasi tangkapan juga harus lebih agresif bagi membendung gejala rasuah.
“SPRM akan memberi tumpuan kepada kes berskala besar melibatkan kerugian wang negara serta pada masa sama memberi tumpuan kepada aspek mengesan aset yang disembunyikan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah sempena Persidangan Pengarah-Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) di sini, hari ini.
Azam menyeru warga LHDNM mempertahankan prinsip integriti dan profesionalisme demi kebaikan negara. – UTUSAN










