SERI KEMBANGAN: Di sebalik kesungguhan melatih anak-anak kecil mengasah bakat sukan, kelab bola sepak komuniti, Seven Putra Project (SPP) FC membuktikan semangat kekeluargaan dan perpaduan juga tidak pernah dipinggirkan.
Berpangkalan di padang awam Taman Puncak Jalil (PUJ) 9, kelab ini diterajui empat orang ahli pengurusan dan sembilan orang jurulatih, dengan keanggotaan kini mencecah 115 orang pemain berusia antara lima hingga 12 tahun.
Menurut Presiden SPP FC, Faaiz Azizi Amir, selain fokus terhadap pembangunan sukan sejak usia muda, SPP FC juga aktif menganjurkan pelbagai aktiviti melibatkan ibu bapa pemain, menjadikan padang latihan sebagai tempat mengeratkan silaturahim dan jalinan muhibah komuniti setempat.
Antara acara yang dilaksanakan ialah majlis makan setiap kali sempena perayaan dan terbaharu menganjurkan program barbeku santai sekali gus menjadi platform berkenalan antara ahli baharu dan lama, malah membuka ruang untuk ibu bapa saling bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan membina komuniti yang lebih erat.
“Kami percaya, sukan bukan hanya tentang menang kalah di padang, tapi juga membina jiwa, membentuk disiplin, dan mengukuhkan hubungan sesama insan,” katanya di sini baru-baru ini.
Faaiz berkata, pendekatan menyantuni ibu bapa ini adalah salah satu nilai teras kelab yang mahu melahirkan bukan sahaja pemain bola sepak yang cemerlang, malah membentuk sokongan moral dan sosial kukuh dalam kalangan keluarga pemain.
Dengan semangat kekeluargaan yang utuh, SPP FC terus melangkah ke hadapan sebagai salah satu inisiatif komuniti yang bukan sahaja mendidik, tetapi juga menyatukan. – UTUSAN