KUALA LUMPUR: Komposer, Ajai tampil membuat permohonan maaf susulan kenyataannya berhubung isu hak cipta lagu membabitkan kumpulan 4U2C dan komposer, Wan Senoi sebelum ini.
Permohonan maaf itu dibuat menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagramnya baru-baru ini.
“Saya ingin menjelaskan kenyataan saya sebelum ini berkenaan konsert 4U2C.
“Sekiranya kenyataan saya telah disalah tafsir atau menyinggung mana-mana pihak, saya mohon maaf.
“Ia bukan bertujuan untuk menghalang mana-mana pihak daripada berkarya.
“Saya menyokong usaha mana-mana artis untuk terus berkarya dan berharap segala perkara dapat diselesaikan secara baik dan berhemah,” tulisnya.
Kenyataan itu dibuat selepas 4U2C dalam sidang media petang tadi menuntut permohonan maaf dalam tempoh 24 jam daripada beberapa individu yang telah membuat kenyataan tidak berasas mengenai isu berkenaan.
Terdahulu komposer Wan Senoi bercadang mengambil tindakan sekiranya kumpulan rap tersebut menyanyikan lagu-lagunya di konsert We 4U2C Live In Concert September depan.
Isu tersebut menarik perhatian beberapa penggiat muzik antaranya Ajai yang berpandangan 4U2C tidak boleh mengadakan konsert sekiranya isu hak cipta tidak diselesaikan dengan pencipta lagu.
Kenyataan Ajai itu disifatkan 4U2C sebagai tidak berasas dan mengelirukan ramai pihak termasuk pembeli tiket konsert mereka.
4U2C dalam sidang media yang sama mengesahkan penganjuran konsert mereka diteruskan tanpa perlu mendapatkan persetujuan mana-mana pihak berhubung hak cipta lagu.- UTUSAN