PETALING JAYA: SIS memutuskan untuk menggugurkan perkataan ‘Islam’ dalam nama organisasinya sebagai menunjukkan penghormatan terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Justeru, menurut organisasi itu, pihaknya akan menggunakan nama berdaftarnya iaitu SIS Forum (Malaysia) berkuat kuasa serta merta susulan Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan pihaknya pada 11 Julai lalu.
Menurut SIS Forum, penggunaan nama ‘Sisters in Islam’ sebagai nama pena organisasinya bagi menggambarkan peranan mereka dalam memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan untuk wanita Muslim di Malaysia selaras dengan keyakinan bahawa Islam adalah agama adil dan penuh belas ihsan.
Pengarah Eksekutif SIS Forum (Malaysia), Rozana Isa berkata, walaupun perkataan ‘Islam’ digugurkan daripada nama pena organisasi itu namun komitmen mereka terhadap perjuangan memartabatkan kesaksamaan gender dan keadilan dalam undang-undang keluarga Islam tetap utuh.
“Apa yang paling penting ialah kerja-kerja yang kami lakukan untuk wanita Muslim dan rakyat Malaysia. Malangnya, kerja kami selama ini sering disalah tafsir dan disalah faham oleh sesetengah pihak.
“Kami bukan mencabar Islam, tetapi memperjuangkan undang-undang yang sepatutnya melindungi wanita dalam keluarga. Masih ramai lagi wanita Muslim yang tidak mendapatkan keadilan yang diharapkan.
“Isu seperti nafkah yang tidak dibayar, perceraian dan poligami yang dilakukan di luar proses mahkamah, serta tafsiran undang-undang Islam yang tidak peka gender terus memberi kesan kepada wanita Muslim di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata, isu dibangkitkan adalah benar dan bersifat sistemik serta perlu diberikan perhatian bukannya diketepikan.
“Kami berharap ini dapat menghentikan perdebatan berpanjangan mengenai nama pena kami dan membolehkan kami bergerak ke hadapan dengan niat baik bersama semua pihak.
“Wanita adalah saksama di sisi Allah. Maka, mereka juga wajar dipandang dan dilayan saksama di sisi manusia,” katanya.
Pada Jun lalu, Sultan Sharafuddin menitahkan supaya SIS Forum Malaysia berhenti menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ ke atas sebarang bentuk penerbitan di platform dikaitkan dengan syarikat mereka.
Baginda bertitah, ini supaya perkataan ‘Islam’ tidak sewenang-wenangnya digunakan untuk faedah dan kepentingan syarikat terbabit.-UTUSAN










