JOHOR BAHRU: Singapura kekal sebagai ‘pelanggan utama’ bagi durian Johor apabila merekodkan jumlah eksport sebanyak 7.2 juta kilogram (kg) raja buah itu sepanjang tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip, berkata selain Singapura negeri ini turut mengeksport sebanyak 4.4 juta kg ke China dan lebih satu juta kg ke Hong Kong.
Antara varieti popular ialah Musang King, D13 (durian kunyit), IOI, Tekka, Black Thorn, Kim Hong dan durian kampung.
“Berdasarkan rekod tahun lalu, keluaran durian bagi negeri ini adalah sebanyak 189,787 tan metrik membabitkan 19,179 hektar tanaman dengan 34,000 pekebun,” katanya selepas Sesi Santai Makan Durian dan Buah-buahan Tempatan bersama
Media di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri, di sini semalam. Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian negeri (Operasi), Mohd. Suffian Aizudin Mohd. Saleh dan Timbalan Pengarah FAMA negeri, Norasidah Idris.
Zahari berkata, dalam usaha mengelakkan isu lambakan durian, kerajaan negeri melalui kerjasama FAMA akan mengaktifkan Pusat Pengumpulan dan Pemprosesan Durian di Tangkak yang dijangka mula beroperasi penuh tahun ini.
“Dengan adanya pusat ini, durian akan dikumpul, disejukbekukan dan boleh dipasarkan sepanjang tahun, tak perlu tunggu musim. Jadi, durian tak akan terbuang atau menyebabkan harga jatuh mendadak,” katanya. – UTUSAN










