PUTRAJAYA: Dua sindiket yang memperdaya warga asing dengan menawarkan perkhidmatan pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara haram tumpas dalam dua serbuan berasingan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar ibu negara, baru-baru ini.
Dalam operasi pertama yang dijalankan pada 10 Julai lalu di sebuah premis pejabat di Jalan Pudu, Kuala Lumpur, JIM menahan tiga lelaki warga Bangladesh yang dipercayai terlibat dalam sindiket dikenali sebagai ‘Zakeer’.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tangkapan dibuat hasil maklumat awam dan risikan selama dua minggu oleh sepasukan pegawai daripada Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
“Tiga suspek berusia lingkungan 40 hingga 50 tahun itu termasuk dalang utama dan dua orang tengah. Semakan mendapati ketiga-tiga mereka memiliki PLKS yang masih sah di bawah sektor pembinaan.
“Turut disita dalam serbuan itu ialah 130 naskhah pasport Bangladesh, tiga pasport Indonesia dan tiga unit telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sindiket ‘Zakeer’ dipercayai mengenakan bayaran antara RM2,500 hingga RM6,000 untuk setiap permohonan pembaharuan PLKS dan telah beroperasi hampir setahun dengan menyasarkan warga asing di sekitar Lembah Klang.
Seorang lagi lelaki warga Bangladesh telah diberikan notis hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan lanjut.
Sementara itu, dalam serbuan berasingan pada hari yang sama, di kawasan Ampang Baru, Kuala Lumpur, JIM menahan tiga lagi lelaki iaitu dua warga Pakistan dan seorang warga Myanmar yang dipercayai merupakan anggota sindiket dikenali sebagai ‘Shaheed’.
Zakaria berkata, hasil risikan selama dua minggu mendapati kumpulan itu turut menawarkan khidmat menguruskan PLKS kepada warga asing di sekitar Lembah Klang dengan bayaran antara RM80 hingga RM500 setiap permohonan.
“Antara barangan yang dirampas ialah masing-masing satu pasport Pakistan, pasport Vietnam, pasport Myanmar, pasport Bangladesh dan pasport Sri Lanka, selain 24 pelekat Malaysia Pass (Malpass) yang disyaki palsu serta lima unit telefon bimbit.
“Semakan lanjut mendapati, salah seorang warga Pakistan memiliki PLKS sektor pembersihan, seorang lagi tinggal lebih masa, manakala lelaki warga Myanmar memiliki Kad UNHCR,” katanya.
Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. – UTUSAN