Sindiket warga asing: Dua warga Bangladesh, pengarah syarikat pelancongan ditahan

Sindiket warga asing: Dua warga Bangladesh, pengarah syarikat pelancongan ditahan

Dua warga Bangladesh, pengarah syarikat pelancongan ditahan reman SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dua individu warga Bangladesh termasuk seorang pengarah syarikat pelancongan yang beribu pejabat di luar negara ditahan reman kerana disyaki mendalangi sindiket kemasukan warga asing.

Mereka disyaki memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA 1).

Pegawai Pendaftar Kanan, Shaik Zuladdruse Merican Sadzol Othman Merican membenarkan kedua-dua suspek direman selama enam hari sehingga 20 Julai ini selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan dalam satu operasi yang dijalankan SPRM sekitar Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur antara pukul 5 petang hingga 7 malam, semalam.

“Siasatan awal mempercayai kedua-dua suspek merupakan ejen warga asing yang memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa di KLIA 1 bagi memudahkan kemasukan warga asing melalui pintu masuk negara.

“Modus operandi (MO) yang digunakan sindiket ini adalah dengan mendekati pegawai penguat kuasa di KLIA bagi menjalankan aktiviti ‘counter setting’ di mana pegawai yang terlibat akan memudahkan proses pemeriksaan warga asing tersebut,” katanya.

Semalam, SPRM melalui Bahagian Perisikan telah menjalankan satu operasi bersepadu, Op Recruit di sekitar Negeri Sembilan dan juga Kuala Lumpur bersama Bahagian Perisikan dan Operasi Khas serta Bahagian Integriti, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Kata sumber, operasi yang turut diserta anggota Skuad Taktikal Antirasuah (ACTS) ini berpandukan maklumat hasil risikan dari awal tahun ini.

Dalam serbuan semalam, JIM turut menahan 29 warga asing yang terdiri daripada 21 lelaki dan lapan wanita yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigesen 1963.

Kesemua warga asing ini telah ditahan dan dibawa ke pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, SPRM turut menyita tiga unit telefon bimbit dan juga pelbagai mata wang asing seperti dollar (Amerika Syarikat), rupiah (Indonesia) dan taka (Bangladesh) bernilai kira-kira RM16,000 dalam serbuan tersebut.

Menurut sumber lagi, bermula Januari hingga awal bulan ini, SPRM turut mengesan sebanyak 10 transaksi telah berlaku dengan jumlah keseluruhan bernilai kira-kira RM138,000.

“Siasatan awal turut mendapati bagi setiap individu, pegawai penguat kuasa yang terlibat akan diberikan rasuah antara kira-kira RM1,800 hingga RM2,500.

“Pembayaran yang dilakukan oleh sindiket ini adalah secara tunai melalui orang tengah dan lokasinya adalah di dalam kenderaan dan juga premis kediaman suspek di sekitar Kuala Lumpur dan juga Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN