KUALA TERENGGANU: Polis menumpaskan sindiket penipuan pinjaman peribadi melibatkan kerugian mencecah RM1.3 juta selepas menahan seorang wanita dalam satu serbuan di Johor Bahru pada 11 Julai lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, tangkapan itu hasil risikan dan operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Terengganu susulan laporan polis yang diterima sebelum ini.
Katanya, hasil siasatan turut mendapati sindiket berkenaan menggunakan dokumen palsu dalam permohonan pinjaman peribadi yang dihantar melalui pos tanpa kehadiran fizikal pemohon atau pengesahan tandatangan oleh pegawai bank.
“Selepas pinjaman diluluskan, wang dimasukkan ke akaun peminjam namun tiada sebarang bayaran balik dilakukan. Audit dalaman bank mendedahkan tujuh permohonan terbabit melibatkan dokumen palsu.
“Suspek turut menawarkan pinjaman kepada individu tidak layak seperti mereka tanpa pendapatan tetap dengan mengenakan komisen 35 peratus dan turut memegang kad ATM peminjam sehingga wang masuk,” katanya hari ini.
Menurut beliau, suspek utama itu juga dipercayai menguruskan keseluruhan proses termasuk menyediakan dokumen, mencari peminjam dan mengendalikan aliran wang pinjaman.
Suspek kini direman hingga 15 Julai ini bagi membantu siasatan dan polis sedang mengesan individu lain yang dipercayai terlibat dalam sindiket berkenaan. – UTUSAN