GEORGE TOWN: Polis membongkar satu sindiket pengedaran dadah yang berselindung di sebalik sebuah inap desa susulan rampasan bunga ganja seberat 112.1 kilogram (kg) bernilai RM3.72 juta dalam serbuan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT), Selasa lalu.
Serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang itu bermula kira-kira pukul 10 pagi hingga 3 pagi keesokannya.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, susulan operasi itu juga, empat lelaki berusia antara 31 hingga 39 tahun yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga Vietnam ditahan.
“Dua lelaki tempatan ditahan di dalam bilik sebuah hotel manakala seorang lagi yang bertindak sebagai transporter dadah ditahan di lobi hotel berkenaan di Bukit Mertajam.
“Hasil pemeriksaan, polis merampas sembilan peket daun kering disyaki ganja seberat 9.2kg serta lima peket tumbuhan kering disyaki bunga ganja seberat 4.2kg,” katanya dalam pada sidang akhbar hari ini.
Menurut beliau, hasil soal siasat lanjut kemudian membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Vietnam di Seberang Jaya dan penemuan sebuah rumah inap desa yang disewa seterusnya dijadikan sebagai stor dadah.
“Susulan pemeriksaan ke atas inap desa itu, polis menjumpai tiga jenis beg iaitu dua bagasi biru, dua bagasi hitam dan dua beg berzip pelbagai warna yang mengandungi sejumlah 111 bungkusan plastik lutsinar berisi bunga ganja seberat 98.7 kg.
“Dadah ini diperoleh dari negara jiran dan dipercayai untuk pasaran tempatan dan juga Kuala Lumpur,” katanya yang memberitahu, siasatan mendapati, sindiket itu aktif sejak Mac lalu/
Sementara itu katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati, seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala dua lagi positif kombinasi dadah jenis amphetamine, methamphetamine, ketamin dan benzodiazepine.
“Rekod lampau suspek turut mendedahkan tiga daripada mereka mempunyai pelbagai kes jenayah melibatkan dadah, termasuk seorang yang pernah terlibat dalam 13 kes berkaitan dadah,” katanya.
Mohd. Alwi berkata, siasatan turut mendedahkan bahawa rumah inap desa jenis kondominium yang dijadikan stor dadah itu disewa sejak seminggu lalu dengan harga RM2,800 sebulan oleh suspek tempatan yang tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Transporter berusia 34 tahun yang bertindak sebagai penghantar dadah diberi upah antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap perjalanan. Ini adalah kali kedua dia terbabit dalam penghantaran dadah.
“Selain itu, suspek lelaki warga Vietnam bertindak menjalankan urus niaga bunga ganja tersebut dengan sindiket di sini dan rangkaian antarabangsa, dia yang bekerja dalam bidang minyak dan gas mendakwa masuk ke negara ini atas urusan kerja,” katanya yang memaklumkan, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari.
Dalam perkembangan berkaitan katanya, polis turut menyita tiga buah kenderaan dan wang tunai berjumlah RM199,300 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. – UTUSAN










