Siasat ajaran sesat berselindung sebalik program motivasi – Na’im

Siasat ajaran sesat berselindung sebalik program motivasi – Na’im

Kumpulan terakhir jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1446H/2025 yang tiba disambut oleh ahli keluarga di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam. – UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Mufti Wilayah Persekutuan diarahkan menyiasat sebuah kumpulan yang didakwa menyebarkan ajaran sesat secara halus melalui program kerohanian dan motivasi rumah tangga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan penyalahgunaan elemen keagamaan untuk tujuan memesongkan akidah umat Islam.

“Saya sudah arahkan Ke­tua Pengarah Jakim dan Mufti Wilayah Persekutuan menyiasat kumpulan ini. Kita tidak mahu ada pihak berselindung di sebalik nama agama untuk mengembangkan ajaran sesat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau diminta mengulas pengakuan seorang bekas ahli program itu membuat pendedahan secara terbuka di akaun Facebooknya berhubung ajaran itu dikatakan berselindung di sebalik program keluarga bahagia, seni cinta rumah tangga dan motivasi kepada wanita.

Wanita itu mendakwa ramai peserta program dalam kala­ngan wanita terutama mereka yang berkerjaya tetapi mempunyai masalah dalam hubu­ngan suami isteri seperti kecewa dengan suami, rumah tangga sedang goyah, gangguan orang ketiga, suami tak tertarik de­ngan isteri dan sebagainya.

Kelemahan itu digunakan oleh motivator itu bersama suaminya sehingga ramai peserta wanita melakukan perbuatan terkutuk dengan izin isterinya sendiri.

Motivator itu turut dikatakan menganut ajaran sesat berbahaya yang didakwa pengamal ajaran batin dan new age movement yang jauh menyimpang dari syariat Islam, Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Alhamdulillah ramai ahli yang telah keluar dan telah lama membuat aduan di Jabatan Agama. Kami bersama bekas ahli akan mendedahkan ajaran bahaya ini agar tidak ada lagi yang terpengaruh dengan program ini.

“Anda nilai sendiri nanti sejauh mana kesesatan yang dibawa,” katanya.

Sementara itu, Na’im berkata, operasi musim haji 1446H/2025 mencatat sejarah membanggakan apabila Tabung Haji (TH) dinobatkan sebagai penerima Diamond Award, anugerah ter­tinggi dalam Majlis Anugerah Labaytum 2025 yang dianjurkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Katanya, ini adalah musim haji terbaik setakat ini malah anugerah diterima, sangat istimewa kerana pertama kali diberikan kepada TH dan ia mengukuhkan lagi kedudukan sebagai institusi pengurusan haji bertaraf dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN