PETALING JAYA: Harimau Malaya kini berdepan tugas getir untuk mencari lawan setaraf atau lebih kuat selepas menarik diri daripada kejohanan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025.
CAFA sebelum ini dianggap platform terbaik untuk menguji kemampuan Harimau Malaya apabila dijadualkan menentang pasukan elit Asia seperti Iran, Tajikistan dan Afghanistan.
Bagaimanapun, perubahan tarikh penganjuran di luar jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menyukarkan penyertaan Malaysia terutama bagi mengumpul skuad terbaik.
Sebagai langkah alternatif, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan skuad kebangsaan akan menjalani kem latihan pusat di Kuala Lumpur pada September depan.
Kem latihan berkenaan sebagai persiapan menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2027, yang akan berlangsung pada Oktober dan November depan.
Bagaimanapun, legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail berpandangan skuad kebangsaan tidak boleh sekadar berlatih tanpa aksi sebenar di atas padang.
Katanya, perlawanan persahabatan kompetitif perlu diatur dan adalah lebih baik jika melibatkan pasukan dari ranking lebih tinggi daripada Malaysia.
“Sudah pasti Harimau Malaya memerlukan perlawanan yang kompetitif untuk menguji kekuatan dan kelemahan pasukan, tidak boleh hanya sekadar kem latihan. Ia kerana latihan dan aksi persahabatan yang kompetitif memberi impak yang jauh berbeza.
“Perlawanan kompetitif menguji kekuatan mental dan tahap kecergasan pemain. Kalau berlatih saja, kita rasa sudah kuat, tapi dalam perlawanan sebenarnya itu hanya 20 peratus sahaja. Saya cakap dari segi pengalaman, jika buat kem latihan sekurang-kurangnya kena ada dua aksi persahabatan.
“Seandainya dapat pasukan yang lebih kuat, lagi bagus. Jika sukar mendapatkan pasukan, mungkin boleh cuba atur perlawanan dengan pasukan ASEAN seperti Indonesia dan Thailand, mereka pun berada di ranking lebih tinggi dari Malaysia,” katanya.
Terdahulu, FAM memaklumkan perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran di luar jendela antarabangsa FIFA menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.
Sementara itu, CAFA dalam kenyataan balas meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Malaysia, sambil menegaskan bahawa jadual asal kejohanan tidak pernah diubah.
Berdasarkan undian kejohanan itu, Harimau Malaya dijadual bertemu Tajikistan pada 29 Ogos, diikuti Iran (1 September) dan Afghanistan (4 September) bagi aksi Kumpulan B.
Kini, tumpuan FAM dan Peter Cklamovski beralih kepada mencari pasukan lawan yang sesuai sepanjang jendela antarabangsa FIFA dari 1 hingga 9 September depan yang akan menjadi pentas persiapan terakhir sebelum kempen kelayakan Piala Asia 2027 kembali bersambung.-UTUSAN