PETALING JAYA: “Saya faham apa yang awak rasa. Betul, nak hijrah mudah, tapi istiqamah sangat mencabar.”
Demikian kata pelakon, Shera Aiyob memberikan kata semangat buat aktres jelita, Kilafairy yang kini berdepan cabaran untuk kekal istiqamah selepas lima tahun berhijab.
Menurut Shera, apa yang dialami Kilafairy ketika ini adalah normal memandangkan ia sebahagian daripada lumrah manusia yang bersifat lemah dalam melawan godaan dan mempertahankan keimanan.
“Kita manusia biasa, hambaNya yang lemah. Iman kita bukan naik turun tapi sentiasa keluar dan masuk.
“Jadi, perkara itu normal untuk rasa begitu,” katanya membalas Threads Kilafairy yang memaklumkan dirinya terdetik untuk kembali tidak bertudung.
Bagaimanapun, isteri kepada aktor, Zahiril Adzim itu mengingatkan agar sahabat baiknya mempertimbangkan setiap tindakan sebelum membuat keputusan demi mendapat keredaan Ilahi.
“Apabila kita rasa sedih atau sebelum kita buat sesuatu keputusan, sentiasa tanya semula diri kita.
Allah SWT suka tak kalau kita buat seperti ini?
“Allah SWT suka tak kalau kita buat seperti itu? Tapi itulah, cakap memang senang, nak buat itu susah. Ambillah masa awak. Sayang awak,” ujarnya.
Baru-baru ini, Kilafairy meminta orang ramai untuk mendoakannya agar dirinya kekal istiqamah berhijab tatkala imannya diuji dan berada di hujung tanduk.-UTUSAN