KUALA LUMPUR: Ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid kembali melunaskan hasrat peminat menerusi konsert mega yang bakal diadakan 8 November ini.
Konsert Sheila Majid 40 Years In Music itu simbolik untuk meraikan kerjaya penyanyi legenda itu yang kini berusia empat dekad.
“Saya ini jarang menganjurkan konsert. Kalau ada pun adalah untuk meraikan pencapaian.
“Kali ini saya raikan empat dekad perjalanan seni di lokasi yang lebih besar iaitu Axiata Arena.
“Kebetulan saya belum pernah melakukan konsert di sana. Jadi untuk sambutan 40 tahun ini, kenapa tidak?,” katanya.
Sheila berkata demikian dalam sidang media yang diadakan di hotel The Westin Kuala Lumpur, semalam.
Konsert anjuran bersama Kredibiliti Altus Prohouse dan itu turut melibatkan kepakaran barisan penggiat industri berpengalaman antaranya pengarah muzik, Mac Chew, komposer Jenny Chin, pengarah konsert Jennifer Thompson serta pereka pentas, Steve Ho.
Justeru Sheila menjanjikan persembahan lebih eksklusif dan istimewa pada malam bersejarah itu nanti.
“Konsert ini berbeza dengan persembahan yang pernah saya anjurkan sebelum ini.
“Saya akan lunaskan hasrat peminat yang ingin mendengar lagu-lagu yang sering saya nyanyikan sebelum ini, namun dalam konsep persembahan yang berlainan .
“Kami akan tampilkan susunan muzik yang lebih segar bagi setiap lagu yang bakal saya nyanyikan nanti.
“Saya yakin dengan sentuhan Mac dan Jennie yang akan mencipta magis pada malam itu nanti. Mereka ini antara yang tahu kekuatan saya,” kongsinya.
Tiket berharga antara RM268 hingga RM3400 akan dijual bermula 17 Julai, pukul 10 pagi. Tempahan dibuat menerusi platform www.ticket2u.com.my/sheilamajid40.- UTUSAN