PETALING JAYA: Semua 344 Institusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan melaksanakan kelas khas murajaah (ulangkaji) hafazan al-Quran bagi memperkasa kelestarian ilmu dalam kalangan pelajar tahfiz yang mengikuti program akademik dan teknikal.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, inisiatif itu bertujuan memastikan keseimbangan antara kecemerlangan akademik, penguasaan kemahiran teknikal dan kelangsungan hafazan al-Quran sentiasa terpelihara.
“Kelas khas ini diwujudkan khusus untuk para huffaz yang mengikuti program-program akademik dan teknikal di Institusi Pendidikan Mara (IPMA).
“Sering kali pelajar yang telah menghafaz al-Quran mula lupa apa yang dihafal selepas menumpukan kepada pelajaran akademik.
“Jadi, program seperti ini amat penting untuk memastikan mereka dapat terus mengulangkaji dan memelihara hafazan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, langkah itu juga selaras dengan misi dan visi Dasar Tahfiz Negara yang menyasarkan untuk melahirkan seramai 125,000 huffaz profesional menjelang tahun 2050.
Katanya, Mara komited menyokong aspirasi kerajaan dalam menjadikan pendidikan tahfiz sebagai satu landasan penting untuk membina generasi ulul albab yang bukan sahaja menguasai ilmu agama, tetapi juga cemerlang dalam bidang profesional dan teknikal. – UTUSAN










